SURFSIDE: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa runtuhan kondominium di Miami dihentikan buat sementara waktu kerana faktor keselamatan susulan struktur runtuhan yang tidak stabil.
Jumlah mangsa korban masih kekal pada angka 18 orang selepas pasukan penyelamat menemukan enam lagi mayat di bawah runtuhan termasuk dua kanak-kanak berusia empat dan 10 tahun semalam.
Dianggarkan 145 lagi hilang dan dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memohon bantuan persekutuan untuk menyelesaikan isu kondominium tersebut memberi jaminan kepada keluarga mangsa, semuanya akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Biden dimaklumkan peluang untuk menemukan mangsa yang masih hidup adalah tipis memandangkan insiden itu sudah berlaku lebih seminggu.
“Seluruh negara berasa sedih dan bersama-sama dengan keluarga mangsa.
“Apa yang anda lalui ketika ini tidak boleh digambarkan dengan kata-kata, namun tidak mustahil jika kita dapat temukan mangsa yang masih hidup,’ kata Biden ketika melawat lokasi kejadian bersama isterinya, Jill. – REUTERS