ONTARIO: Seorang ibu sedih mengenangkan nasib anaknya selepas majlis hari jadi yang dirancang untuk anaknya tidak menjadi seperti yang diharapkan.
Hal ini kerana, seramai 22 rakan anaknya yang dijemput untuk menghadiri majlis hari jadi tersebut tidak munculkan diri.
Kisah sedih itu dimuat naik oleh seorang wanita yang menggunakan nama @dawners86 menerusi satu video dalam aplikasi TikTok.
Dawn memberitahu, selepas tiada sesiapa datang ke majlis hari jadi yang diadakan di sebuah taman permainan itu, anaknya, JJ ‘menghiburkan hatinya’ dengan bermain berseorangan.
Wanita itu juga memberitahu, sekatan Covid-19 sudah dilonggarkan di kawasannya, selain dia sengaja memilih untuk adakan majlis di taman permainan terbuka, maka tiada sebab kenapa rakan-rakan JJ tidak dapat hadirkan diri.
“Sudah setengah jam majlis hari jadi JJ bermula, namun tiada seorang pun rakannya datang,” luah Dawn dalam video tersebut.
Video itu mendapat reaksi pelagai pihak yang rata-ratanya sedih dengan insiden berlaku, malah ada di antara mereka ingin memberi hadiah hari jadi kepada JJ.
Dalam pada itu, Dawn turut menghubungi rakan dan keluarganya untuk mengajak mereka hadir ke majlis hari jadi anaknya.
Akhirnya, dua pasangan ibu bapa bersama anak masing-masing hadir ke majlis hari jadi JJ dan Dawn melahirkan rasa syukur serta berterima kasih.