RIO DE JANEIRO: Hampir setiap keluarga di Brazil boleh dikatakan kehilangan insan tersayang akibat Covid-19 ketika kes jangkitan koronavirus di negara ini terus meningkat seperti tiada henti.
Pada 18 Jun, Brazil menyumbang sebanyak satu pertiga kematian global akibat Covid-19 dengan jumlah kematian di negara ini sudah pun melepasi angka 500,000 kes.
Pakar saintis neuro, Miguel Nicolelis berkata, angka itu meningkat terlalu cepat, sekali gus menunjukkan kadar kematian amat teruk.
“Pada Jun tahun lalu, Brazil rekod 50,000 kematian akibat Covid-19 dan dalam tempoh setahun, jumlah itu naik 10 kali ganda. Keadaan ini amat menakutkan.
“Pada Januari lalu, kami meramalkan jumlah kematian boleh cecah 500,000 pada Julai ini, namun banyak pihak menganggap perkara itu tidak mungkin berlaku dan tuduh kami sengaja perbesarkan isu,” katanya.
Program vaksinasi sudah pun bermula di negara ini, namun pergerakannya disifatkan terlalu perlahan dan kerajaan pimpinan Presiden jair Bolsonaro terus dipersalahkan.
Tiada perintah berkurung dilaksanakan dan hanya 11.4 peratus populasi yang sudah divaksin, Brazil disifatkan seperti ‘bangsal varian baharu’ dan terus terpinggir dari dunia.
Sehingga kini, lebih 100 negara melarang kemasukan rakyat Brazil.
Sehubungan itu, rakyat terus mendesak Bolsonaro meletak jawatan kerana beliau disifatkan ‘gagal teruk’ menangani krisis Covid-19 di negara ini.
Ribuan penduduk di Sao Paulo, Rio de Janeiro, Brasilia, Salvador dan Recife turun ke jalanan membantah situasi yang berlaku, malah ada dalam kalangan mereka tidak kisah dijangkiti Covid-19 dek terlalu geram dengan kerajaan.
Kebanyakan penduduk menyifatkan pentadbiran Bolsonaro ‘lebih teruk daripada pandemik Covid-19’.
Sehingga kini, Bolsonaro mengambil pendekatan berdiam diri berhubung angka kematian yang sudah pun melepasi 500,000 kes.
Kesalahan Brazil
Pakar epidemiologi di Universiti Persekutuan Pelotas, Pedro Hallall berkata, kadar kematian tinggi di negara ini disebabkan oleh keengganan kerajaan persekutuan melaksanakan sekatan Covid-19 yang ketat.
Katanya, perintah berkurung tidak boleh dilaksanakan jika kerajaan tidak membuat pengumuman.
Sikap Bolsonaro yang enggan ‘mengakui bahaya Covid-19’ dan sering menyifatkannya sebagai ‘selsema biasa’ menjadi antara pemicu kepada peningkatan kes secara drastik di Brazil.
Satu kajian yang diterbitkan oleh Hallall dan pasukannya dalam The Lancet menyatakan kematian tinggi di negara ini boleh dielakkan jika Brazil patuh protokol pandemik.
Abai peluang vaksin
Siasatan Parlimen (CPI) menunjukkan kerajaan Brazil mengabaikan 81 emel dari firma farmaseutikal Pfizer yang menawarkan bekalan vaksin pada harga lebih murah berbanding Amerika Syarikat (AS) pada Ogos lalu. – AGENSI