FLORIDA: Seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun maut akibat ditumbuk oleh pekerja di sebuah restoran menjual donat selepas mangsa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Mangsa yang tidak didedahkan identiti itu dilaporkan bertengkar dengan Corey Pujols, 27, yang kini berdepan dengan pendakwaan atas kematian lelaki tersebut.
Ketika kejadian, mangsa membeli donat secara pandu lalu di premis Dunkin’ Donuts di Tampa, Florida pada minggu lalu.
Mangsa dikatakan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang lambat dan kurang memuaskan, selain diarahkan supaya meninggalkan premis sebanyak beberapa kali oleh pekerja restoran berkenaan.
Berang dengan keadaan itu, mangsa masuk ke dalam premis dan bertengkar dengan Pujols sebelum menghina pekerja restoran itu yang merupakan lelaki kulit hitam.
Keadaan semakin tegang apabila mangsa berulang kali mengutuk Pujols sehingga menyebabkan lelaki itu menumbuk mangsa pada rahang mukanya dan menghentakkan kepalanya ke lantai.
Polis kemudian tiba di lokasi kejadian dan menahan Pujols manakala mangsa dikejarkan ke hospital sebelum meninggal dunia tiga hari kemudian.
Pujols berdepan dengan hukuman penjara selama 30 tahun jika disabit kesalahan. – AGENSI