KAMPALA: Seorang budak lelaki berusia dua tahun terselamat selepas nyaris ditelan seekor badak air yang muncul berhampiran rumahnya di barat daya Uganda baru-baru ini.
Menurut portal BBC, Iga Paul sedang bermain berhampiran pantai Tasik Edward di daerah Kasese apabila seekor badak air tiba-tiba menangkap kanak-kanak itu dan cuba menelan tubuh kecilnya.
Paul sudah berada di dalam mulut badak air itu dengan kepala dan bahagian atas badannya menghampiri rahang haiwan berkenaan sebelum seorang lelaki yang kebetulan berada di kawasan berhampiran pantas bertindak menyelamatkan kanak-kanak itu.
Penyelamat yang berani, dikenali sebagai Chrispas Bagonza, melemparkan batu ke arah badak air tersebut dan menakutkannya, menyebabkan haiwan itu melepaskan mangsa dari mulutnya.
Paul kemudian dikejarkan ke klinik tempatan dan menerima rawatan selepas mengalami luka akibat terjatuh dari mulut badak tersebut.
“Ini adalah kejadian yang pertama seumpamanya. Kanak-kanak itu pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar selepas menerima vaksin rabies,” jelas polis.
Kawasan rumah kanak-kanak itu terletak berhampiran taman negara yang luas, tasik serta rumah persinggahan safari dan pihak berkuasa sering mengingatkan penduduk supaya berhati-hati dengan haiwan liar.
Kes itu menarik perhatian ramai dan mencetus kebimbangan badak air liar mungkin boleh menelan atau mencederakan anak-anak kecil yang berada di kawasan berhampiran.
Badak air diketahui sebagai haiwan herbivor yang memakan rumput dalam jumlah besar tetapi dipercayai boleh memakan daging, terutamanya jika makanan lain terhad dan cenderung untuk menelan hampir apa sahaja yang berada di sekelilingnya.