BAMAKO: Mali menerima peralatan ketenteraan tambahan dari Rusia selepas Kesatuan Eropah (EU) menggantung program latihan ketenteraannya dengan negara Sahel.
Lapor BBC, Pejabat Presiden Mali menerusi kenyataan memaklumkan, panglima angkatan tentera, Jeneral Oumar Diarra menerima dua helikopter tempur dan radar pengawasan.
Pejabat Presiden itu turut memuat naik satu video menunjukkan peralatan dihantar menerusi pesawat kargo Rusia di sebuah lapangan terbang di Bamako.
Diarra menyifatkan sokongan Rusia terhadap Mali sebagai `manifestasi perkongsian yang sangat bermanfaat’.
Bulan lalu, Mali menerima dua helikopter tempur dan radar buatan Rusia sejurus selepas media melaporkan menteri pertahanan dan panglima tentera udara melawat Moscow secara rahsia.
Media negara melaporkan penerimaan peralatan ketenteraan itu dan memuji sokongan Rusia ke atas Mali dalam operasi menentang pemberontakan.