PRETORIA: Seorang wanita dari Afrika Selatan didakwa selamat melahirkan bayi kembar 10 atau turut dikenali sebagai decuplets.
Ia sekali gus menjadikan wanita berusia 37 tahun itu pemegang rekod dunia baharu bagi melahirkan bayi paling ramai sekiranya disahkan oleh doktor.
Lapor Daily Mail, Gosiame Thamara Sithole didakwa melahirkan semua bayi kembarnya itu di sebuah hospital di Pretoria.
Suaminya, Tebogo Tsotetsi berkata, bayi kembar yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan dilahirkan menerusi pembedahan Isnin lalu.
Tsotetsi memberitahu dia berasa amat gembira kerana semua bayi kembarnya berada keadaan baik.
“Isteri saya melahirkan mereka ketika kandungannya berusia tujuh bulan tujuh hari,” katanya kepada Pretoria News.
Sebelum ini, Sithole mendakwa menjadi hamil secara semulajadi tanpa menjalani sebarang rawatan kesuburan.
Dalam satu temubual sebelum kelahiran anak, Sithole memaklumkan doktor pada asalnya menjangka dia bakal melahirkan bayi kembar lapan.
Katanya, dia menderita sepanjang proses kehamilannya termasuk mengalami simptom mabuk hamil yang teruk.
Bulan lalu, seorang wanita dari Mali melahirkan bayi kembar sembilan di sebuah hospital di Morocco.
Sementara itu, kerajaan Afrika Selatan memaklumkan setakat ini, pihaknya belum menemui sebarang rekod berhubung kelahiran Sithole.