GABORONE: Syarikat berlian Botswana, Debswana mendedahkan pihaknya menemukan sebutir berlian 1,098 karat yang disifatkan ketiga paling besar di dunia.
Berlian yang ditemukan pada 1 Jun itu dipersembahkan kepada Presiden Botswana, Mokgweetsi Masisi di sini.
Ketua Pengarah Debswana, Lynette Amstrong berkata, penemuan itu amat bermakna kepada negara ini kerana memberi ‘harapan’ kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan.
“Berlian itu juga merupakan batu permata paling besar syarikat kami temukan,” katanya.
Berlian paling besar di dunia iaitu berlian Cullinan dengan 3,106 karat yang ditemukan di Afrika Selatan pada 1905.
Berlian kedua terbesar pula adalah Lesedi La Rona (1,109 karat) iaitu sebesar bola tenis yang ditemukan di Karowe, timur laut Botswana pada 2015. – AFP