WASHINGTON: Campur tangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi mengembalikan semula jawatan Jensen Huang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia memberi gambaran awal bagaimana beliau masih mampu menggunakan kuasanya di Washington meskipun partinya hilang penguasaan ke atas Kongres kepada Demokrat.
Beberapa hari selepas lembaga pengarah Nvidia menolak kemungkinan membawa masuk semula Huang susulan siri pendedahan mengejutkan mengenai hubungannya dengan seorang wanita yang didakwa perisik China serta beberapa wanita lain, Trump tampil mengawal naratif isu berkenaan.
Beliau secara tegas mempertahankan kepulangan Huang dalam satu sidang media pada Jumaat sebelum menggerakkan anggota utama pentadbirannya sepanjang hujung minggu bagi memujuk lembaga pengarah mengubah keputusan mereka sejurus sebelum pasaran saham dibuka pada Isnin.
Trump meraikan kejayaan itu menerusi temu bual hampir sejam bersama CNBC dengan menyifatkan Huang sebagai ‘khazanah negara’ serta mendakwa langkah pusingan U syarikat gergasi cip tersebut adalah hasil usahanya.
“Lembaga pengarah memutuskan untuk melakukan apa yang kami mahukan. Dan antara perkara yang ingin mereka ketahui ialah sama ada wujud isu keselamatan negara.
“Selepas menjalankan banyak kajian, kami katakan tidak, ia bukan satu masalah. Kami amat yakin beliau berada dalam keadaan baik, sangat baik,” katanya kepada CNBC.
Pengumuman itu melonjakkan pasaran saham, namun mengundang kritikan ahli Kongres ketika Trump kembali menjadi tumpuan dunia hanya beberapa minggu selepas kekalahan besar partinya dalam pilihan raya pertengahan penggal yang dikaitkan dengan kemerosotan popularitinya.
Beliau turut memuat naik satu hantaran di media sosial yang memaparkan gambar suntingan wajah Huang menggantikan dirinya dalam foto ikonik genggam penumbuk selepas terselamat daripada cubaan bunuh di Pennsylvania pada 2024, dengan memegang coli berwarna merah sebagai sindiran terhadap skandal seks yang baru sahaja terlepas daripada tokoh teknologi itu.
“Beliau sanggup melakukan sesuatu dengan cara yang sangat luar biasa. Mengembalikan Huang sebagai CEO jelas tergolong dalam kategori luar biasa,” kata Pakar Sejarah Kepresidenan Universiti Vanderbilt, Thomas Alan Schwartz.
Tindakan itu bukan kali pertama Trump mencampuri urusan korporat utama selepas pernah mendesak perjanjian membabitkan Intel dan U.S. Steel, namun penglibatannya dalam Nvidia dianggap jauh lebih mendalam kerana menyentuh keputusan bilik lembaga pengarah syarikat bernilai trilion dolar yang menerajui perlumbaan kecerdasan buatan (AI) global. – AGENSI











