PERTH: Sekumpulan saintis tempatan dan antarabangsa berjaya menemukan kesan molekul darah di dalam struktur tulang dinosaur yang pernah mendiami bumi kira-kira 115 juta tahun lalu.
Pasukan penyelidik dari Universiti Curtin menemukan sel darah merah terfosil yang mengandungi heme iaitu komponen pembawa oksigen dalam hemoglobin di dalam tulang kaki spesies dinosaur pemakan daging bersaiz kecil dari Brazil.
Penemuan luar biasa itu menunjukkan fosil purba mungkin menyimpan jauh lebih banyak maklumat tentang biologi asal haiwan berkenaan berbanding yang pernah dibayangkan oleh saintis.
Walaupun penemuan itu mungkin membangkitkan gambaran taman Jurassic sebenar, saintis berkata, usaha menghidupkan semula dinosaur tidak mungkin dilakukan kerana tiada asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh diperoleh semula ditemukan.
Ketika ditemu bual Daily Mail, Profesor Kliti Grice, penulis utama kajian itu berkata: “Kami tidak menemukan DNA dinosaur, tetapi sebaliknya berjaya memperoleh sesuatu yang luar biasa, iaitu cap jari molekul darah daripada haiwan yang hidup 115 juta tahun lalu.
“Penemuan ini membuktikan fosil mampu menyimpan rekod kimia haiwan ketika masih hidup,” tambahnya.
Dinosaur itu, yang dikenali sebagai Aratasaurus museunacionali, hidup pada zaman Kapur Awal dan fosilnya ditemukan di Formasi Romualdo yang kaya dengan fosil di timur laut Brazil.
Sel purba itu ditemukan di dalam saluran vaskular halus yang terdapat pada tulang berkenaan.
Kajian terdahulu pernah melaporkan penemuan struktur menyerupai sel darah dalam fosil dinosaur tetapi penyelidik berkata, ini merupakan kali pertama mereka mengesahkan secara kimia kehadiran sebatian yang berasal daripada hemoglobin.
“Pengesanan molekul terbitan heme yang masih utuh dalam sel darah merah berusia 115 juta tahun adalah sesuatu yang amat menakjubkan,” kata Grice. – AGENSI











