TEHERAN: Jurucakap Tentera Iran berkata bahawa negara itu telah selesai membeli jet pejuang Su-35 buatan Russia tetapi pesawat berkenaan hanya akan diterima selepas perang berakhir.
Kenyataan itu merupakan ulasan langsung pertama pihak tentera berhubung perjanjian pembelian yang telah menjadi spekulasi media Iran sejak beberapa tahun lalu.
Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia berkata demikian dalam satu temu bual bersama Tabnak dan BitRun.
Shahrara News menyifatkan kenyataan itu yang disiarkan hari ini sebagai reaksi rasmi pertama tentera terhadap spekulasi berkenaan.
Menurut laporan itu, beliau berkata segala urusan awal termasuk pembelian dan pemeteraian kontrak telah selesai, manakala proses berkenaan dikendalikan oleh badan berkaitan di luar pihak tentera.
Beliau turut mengesahkan latihan juruterbang telah selesai dan pesawat berkenaan sepatutnya tiba sebelum perang tercetus, lapor Fararu.
Pada Januari 2025, Jeneral Kor Pengawal Revolusi Iran, Ali Shadmani, berkata, Iran telah selesai membeli jet pejuang berkenaan, menurut laporan Reuters dan TASS.
Dokumen bocor yang dilaporkan Khabar Online pada 2025 menunjukkan Iran dijangka memperoleh 48 jet pejuang itu, dengan penghantaran keseluruhan dijadualkan antara 2026 hingga 2028.
Roozno, yang memetik Military Watch Magazine, melaporkan sebuah kilang di Russia telah menyiapkan 20 pesawat pertama.
Namun, spekulasi mengenai ketibaan pesawat itu sebelum ini beberapa kali tidak menjadi kenyataan.
Tasnim sendiri pernah menyifatkan video yang tersebar luas pada 2023, kononnya menunjukkan sebuah Su-35 mendarat di Iran, sebagai palsu.
Pada 2025, kenyataan seorang anggota Parlimen Iran yang tidak jelas mengenai ketibaan jet pejuang Russia turut tersebar secara meluas, walaupun Kremlin tidak pernah mengesahkan secara terbuka sebarang perjanjian pembelian itu.
Khabar Online turut melaporkan bahawa Moscow sebelum ini enggan membekalkan jet berkenaan kepada Iran berikutan persefahaman tidak bertulis dengan Israel.
Bekas perunding Iran, Hossein Mousavian, dalam tulisannya pada 2025, berkata, Russia tidak membekalkan jet Su-35 mahupun sistem pertahanan udara S-400 kepada Iran walaupun negara itu berdepan ancaman selama bertahun-tahun.
Shahre Khabar sebelum ini melaporkan Menteri Luar Russa, Sergey Lavrov, berkata, Moscow tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap kerjasama ketenteraan dan teknikal dengan Iran serta sedang memenuhi keperluan negara itu.
Bagaimanapun, laporan yang diterbitkan kira-kira setahun lalu itu tidak menyebut jet Su-35 secara khusus.
Berdasarkan kenyataan jurucakap tentera Iran itu, jet Su-35 hanya akan tiba selepas pertempuran berakhir dengan Amerika Syarikat (AS).
Ini bermakna pesawat berkenaan tidak dapat memperkuat armada tentera udara Iran sekiranya serangan kembali dilancarkan. – AGENSI











