RIYADH: Gabungan diketuai Arab Saudi yang memerangi kumpulan Houthi di Yaman berkata pada Selasa bahawa pihaknya memintas sebuah dron di wilayah Mekah, kota paling suci dalam Islam.
Ia berlaku, ketika Houthi melaporkan 17 orang terbunuh di Yaman dalam tempoh dua hari.
Arab Saudi beberapa kali menuduh Houthi menyasarkan Mekah dan Madinah, satu lagi kota suci Islam.
Namun, tuduhan itu berulang kali dinafikan oleh kumpulan pejuang itu yang disokong Iran.
“Pemintasan dan pemusnahan sebuah dron di wilayah Mekah,” tulis jurucakap gabungan itu, Turki al-Malki, di media sosial tanpa memperincikan sumber serangan berkenaan.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, menafikan pihaknya melancarkan sebarang serangan ke atas wilayah Arab Saudi pada Selasa, sambil menyifatkan kenyataan Riyadh itu sebagai fitnah dan pembohongan lama yang diulang semula.
Yaman dilanda perang sejak 2014 apabila Houthi menawan ibu negara Sanaa, sebelum gabungan diketuai Arab Saudi campur tangan dalam konflik itu setahun kemudian bagi menyokong kerajaan.
Gencatan senjata yang dicapai pada 2022 runtuh pada Julai lalu dan pada September. Houthi menawan kawasan yang menghadap Selat Bab al-Mandeb yang strategik, laluan penghubung Eropah dan Asia melalui Laut Merah serta Terusan Suez.
Houthi pada Selasa mendakwa serangan udara Arab Saudi mengorbankan 17 orang awam dalam tempoh dua hari minggu ini.
Kementerian Kesihatan Houthi dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah kanak-kanak, sekali gus membuktikan jet pejuang Arab Saudi menyasarkan rumah, kawasan perumahan dan pasar.
Saree pada Isnin malam mendakwa Riyadh melancarkan 109 serangan dalam tempoh 24 jam lalu di Yaman, dengan menyasarkan wilayah Saada, Taiz, Lahj, Al-Jawf dan Hodeidah.
Kumpulan itu turut mendakwa melancarkan serangan dron ke atas lapangan terbang Arab Saudi di bahagian timur dan selatan negara itu. – AFP











