Seluruh dunia tanggung kesan negatif serangan ke atas Arab Saudi – IMF

Seluruh dunia tanggung kesan negatif serangan ke atas Arab Saudi – IMF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva memberi amaran serangan terbaharu ke atas Arab Saudi bakal memberi kesan kepada penduduk di seluruh dunia, ketika konflik di rantau kaya sumber tenaga itu menambah kebimbangan ekonomi yang semakin meluas.

Pertempuran antara gabungan diketuai Arab Saudi dengan kumpulan Houthi di Yemen semakin buruk sejak awal bulan ini, dengan serangan peluru berpandu menyasarkan lapangan terbang dan kemudahan tenaga di seluruh Arab Saudi.

Serangan Houthi ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh pada hujung minggu lalu yang mengorbankan 13 orang dan menyebabkan operasi lapangan terbang itu digantung. Serangan itu merupakan yang paling buruk sejak 2015.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peningkatan ketegangan itu menambah kebimbangan terhadap kesan krisis Asia Barat ke atas pertumbuhan ekonomi global, ketika harga minyak mentah melonjak sejak Iran secara berkesan menutup Selat Hormuz yang penting selepas diserang Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada Februari lalu.

“Ekonomi Arab Saudi penting bagi rantau ini dan dunia.

“Dalam erti kata lain, perkembangan ini berpotensi membawa kesan limpahan negatif kepada semua pihak, di mana-mana sahaja di seluruh dunia,” kata Georgieva pada sidang media sempena Mesyuarat Tahunan IMF dan Bank Dunia di Bangkok.

Amaran itu dikeluarkan ketika pegawai dan pakar berkumpul di ibu negara Thailand bagi membincangkan cabaran yang dihadapi ekonomi global, termasuk peningkatan kos tenaga dan kebimbangan mengenai kemampanan lonjakan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI).

Cabaran lain termasuk peningkatan hutang yang mendadak dalam kalangan ekonomi maju, dengan hasil bon mencecah paras tertinggi dalam beberapa dekad ketika tekanan semakin meningkat terhadap bank pusat untuk menaikkan kadar faedah bagi mengawal inflasi.

“Apakah seruan paling tegas kita kepada penggubal dasar ketika ini? Lakukan pembaikan segera terhadap kedudukan fiskal sebelum masalah menjadi semakin serius.

“Sekarang ialah masanya untuk meningkatkan hasil, merasionalisasikan perbelanjaan dan menambah baik pengurusan kewangan awam,” tegas Georgieva.

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia yang dinantikan ramai dan diterbitkan pada Selasa, IMF menaikkan unjuran pertumbuhan global bagi 2026 sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 3.1 peratus.

Bagaimanapun, IMF memberi amaran meskipun aktiviti ekonomi baharu dicetuskan oleh peningkatan pelaburan dalam AI, negara miskin tidak menikmati manfaat yang sama ketika berdepan kenaikan kos tenaga.

Ekonomi global kekal berdaya tahan dalam menghadapi kejutan berulang yang sangat kerap serta ketidaktentuan. Namun, daya tahan ini semakin menghampiri hadnya,” kata Georgieva.

Ketua IMF itu turut menggesa supaya sokongan lebih besar diberikan kepada negara berpendapatan rendah bagi memperkukuh asas ekonomi mereka supaya mampu bertahan menghadapi kejutan.

Beliau berkata, peningkatan kadar faedah global turut menyebabkan kos khidmat hutang meningkat daripada kira-kira enam peratus hasil kerajaan sedekad lalu kepada 14 peratus ketika ini.

Dalam Agenda Dasar Global yang diterbitkan pada Rabu, IMF memberi amaran cabaran membayar khidmat hutang menjadi semakin kritikal bagi ekonomi berpendapatan rendah dan terdedah.

Georgieva berkata, IMF sudah lama memberi amaran mengenai ketidakseimbangan ekonomi global yang semakin ketara dan berlebihan.

“Secara ringkasnya, China perlu meningkatkan perbelanjaan, AS perlu meningkatkan simpanan manakala Eropah perlu meningkatkan pelaburan,” katanya.

Nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) ekonomi maju melonjak sejak pandemik Covid-19 serta peperangan di Ukraine dan Asia Barat, apabila kerajaan terpaksa meningkatkan perbelanjaan bagi mengurangkan kesan kejutan berkenaan.

Di China, kemerosotan permintaan domestik yang berpanjangan berlaku serentak dengan lonjakan eksport ke paras tertinggi dalam sejarah, sekali gus meningkatkan lebihan perdagangan yang semakin menimbulkan masalah politik di negara lain.

Mengulas mengenai langkah menangani kenaikan mendadak hasil bon, Georgieva mengakui tiada jalan pintas bagi menanganinya.

“Usaha perlu menjurus ke arah mengetatkan kawalan hutang dan mengurangkannya.

“Pesanan kami kepada negara anggota jelas. Asas ekonomi penting. Uruskan kewangan negara dengan baik, jika tidak, rakyat dan perniagaan akan menanggung akibatnya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini