PARIS: Kebakaran berlaku di beberapa sekolah di Perancis ketika pelajar mengadakan demonstrasi dan menyekat operasi institusi pendidikan di seluruh negara berhubung isu peruntukan sekolah serta keadaan pembelajaran.
Kebakaran dilaporkan berlaku di dua sekolah menengah di Nantes, barat Perancis, manakala satu lagi insiden dirakam membabitkan api yang marak di pintu masuk sebuah sekolah di bandar Rouen, utara negara itu.
Pelajar membantah kekurangan guru dan kakitangan, bilik darjah yang terlalu sesak serta keadaan bangunan sekolah yang daif. Pelajar universiti turut menyertai demonstrasi pada Khamis dengan mengemukakan tuntutan sama.
Kementerian Dalam Negeri berkata, 1,949 orang ditahan, manakala 305 anggota polis cedera. Perdana Menteri, Sébastien Lecornu mengadakan mesyuarat tergempar pada Khamis bagi membincangkan kekacauan berkenaan.
Kerajaan berkata, demonstrasi yang diketuai pelajar kini bertukar menjadi ‘keganasan jalanan’.
Kedua-dua kebakaran di Nantes merebak selepas sebuah tong sampah dibakar. Kebakaran di sekolah menengah Nelson Mandela di pusat bandar itu kemudian merebak ke bahagian hadapan bangunan dan merosakkan ruang masuk.
Di bandar Marseille, selatan Perancis, kakitangan sekolah menengah Victor Hugo disimbah petrol ketika penunjuk perasaan dilaporkan mengisi bahan api ke dalam beberapa bekas.
Sementara itu, di utara negara itu, seorang pengetua sekolah menengah Degrugillier di kampung Auchel cedera pada telinga selepas terkena bunga api yang dibaling penunjuk perasaan.
Sekurang-kurangnya 30 universiti turut dilaporkan disekat, termasuk kampus di Rennes dan Paris.
Perkhidmatan pengangkutan awam di Marseille dan Strasbourg terpaksa dihentikan susulan tindakan vandalisme dan ancaman keganasan, selain bagi menghalang penunjuk perasaan daripada bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.-AGENSI











