BAITULMUQADDIS: Ketua blok Parlimen Senarai Arab Bersama di Knesset Israel, Ahmad Tibi, menuduh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mahu mengadakan satu lagi pilihan raya untuk mengekalkan kuasanya, sambil menggesa parti pembangkang menggagalkan rancangan itu dengan membentuk kerajaan baharu yang diketuai pemimpin Parti Yashar, Gadi Eisenkot.
Dalam wawancara eksklusif bersama Anadolu, Tibi berkata, beliau percaya Netanyahu berhasrat untuk terus menerajui kerajaan sementara sambil membuat persiapan melancarkan perang baharu terhadap Iran dengan kerjasama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Pembangkang mesti menghalang Netanyahu dengan mengumumkan pembentukan kerajaan yang diketuai Eisenkot sebagai perdana menteri. Kami, sebagai Senarai Arab Bersama (gabungan parti politik), bersedia membantu,” katanya.
Tibi menyifatkan peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan pengundi Arab sebagai pencapaian politik besar kerana berjaya menghalang Netanyahu daripada memperoleh majoriti baharu di Parlimen dalam pilihan raya yang diadakan pada Khamis.
“Netanyahu amat terganggu dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan pengundi Arab kerana ia menyekat dan menggagalkan rancangannya untuk membentuk satu lagi kerajaan di bawah kepimpinannya,” katanya.
Tibi berkata, penyertaan pengundi Arab turut menghalang ahli politik berhaluan kanan jauh, termasuk Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, daripada kembali berkuasa.
Beliau menggesa ahli parlimen Arab menggunakan kejayaan pilihan raya itu bagi membantu membentuk kerajaan alternatif yang kurang memudaratkan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Inisiatif Nasional Palestin (PNI), Mustafa Barghouti berkata, keputusan awal pilihan raya Israel menunjukkan peralihan ketara ke arah peningkatan perkauman, ekstremisme dan fasisme.
Beliau berkata, persaingan yang semakin sengit antara kem politik di Israel tidak menunjukkan sebarang perubahan asas dalam pendirian mereka terhadap hak mutlak rakyat Palestin.
Barghouti menegaskan rakyat Palestin, di mana sahaja mereka berada, akan terus menjadi kekuatan utama dalam menentang peningkatan perkauman Israel.
Dalam pilihan raya itu, blok Netanyahu mendahului pakatan pembangkang tetapi gagal mendapat majoriti, menurut keputusan rasmi akhir pilihan raya umum Israel yang diumumkan awal pagi Jumaat.
Gabungan Netanyahu yang terdiri daripada parti-parti sayap kanan dan kanan ekstrem memenangi 53 daripada 120 kerusi Parlimen.
Bagaimanapun, parti Likud pimpinannya kekal sebagai parti tunggal terbesar menerusi 27 kerusi.











