Perintah berkurung di Paris akibat protes harga barang - Utusan Malaysia

Perintah berkurung di Paris akibat protes harga barang

SEORANG penunjuk perasaan menambah bahan bakar di Paris, Sabtu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung separa di Paris dan beberapa bandar lain pada Isnin selepas demonstrasi pada hujung minggu membantah kenaikan harga bertukar menjadi antara keganasan jalanan terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Sebastien Lecor  tidak menolak kemungkinan mengisytiharkan darurat selepas Menteri Dalam Negeri berkata, polis telah hilang kawalan.

Sebahagian pelancong di Paris turut merasai kesan gangguan itu pada Isnin apabila mendapati Muzium Louvre ditutup susulan tindakan sekumpulan kecil penunjuk perasaan pelajar, manakala Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Paris menggesa rakyatnya supaya menjauhi kawasan demonstrasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berikutan kritikan bahawa kerajaan gagal menjangka dan menangani keganasan itu, kerajaan berikrar memulihkan ketenteraman manakala pegawai bertungkus-lumus meredakan kemarahan orang ramai.

Rusuhan yang tercetus hanya enam bulan sebelum Perancis memilih pengganti Presiden Emmanuel Macron itu berisiko berterusan apabila penganjur menggesa satu lagi siri demonstrasi diadakan Sabtu depan.

Pihak berkuasa berkata, perintah berkurung separa akan dikuatkuasakan mulai petang Isnin hingga pagi Selasa di beberapa bandar termasuk Paris, Lille dan Lyon bagi melindungi premis perniagaan.

Sementara itu, di ibu negara, perintah berkurung bermula 11 malam waktu tempatan manakala demonstrasi dilarang mulai 8 malam.

“Saya benar-benar bertekad untuk memulihkan ketenteraman awam,” kata Lecornu.

Negara Eropah lain turut menyaksikan demonstrasi membantah kenaikan harga, dengan pertempuran kecil tercetus di Milan dan Belgium pada hujung minggu, manakala bantahan berterusan di Sepanyol dan Portugal.

Kira-kira 500,000 orang berhimpun di seluruh Perancis pada Sabtu bagi membantah peningkatan kos sara hidup, kemuncak kepada empat minggu demonstrasi yang bermula dengan tuntutan pelajar supaya keadaan di sekolah menengah diperbaiki.

Demonstrasi yang pada awalnya berlangsung secara aman bertukar ganas di kebanyakan bandar apabila kumpulan bertopeng menyerang anggota penguat kuasa, memecah masuk bangunan awam dan membakar sebahagiannya, menjarah kedai serta membakar kereta, basikal serta skuter. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini