TAYBEH: Kumpulan peneroka haram Israel menyerang sepasukan diplomat Eropah, seorang datuk bandar dari Perancis serta Biskop Agung Cambrai di Taybeh, Tebing Barat yang diduduki.
Insiden yang mencederakan tiga individu dan merosakkan sebuah kenderaan itu merupakan percubaan serangan terbaharu bagi menghalang penduduk Palestin daripada menuai hasil zaitun di tanah milik mereka sendiri.
Datuk Bandar Aulnoye-Aymeries, Bernard Baudoux yang memakai selempang rasmi jabatannya diserang dan ditolak ke tanah pada Sabtu ketika cuba memasuki sebuah kenderaan berplat diplomatik.
Menurut saksi, penyerang bertopeng itu menjerit ‘Vive la France’ semasa melancarkan serangan. Isteri Baudoux serta Biskop Agung Cambrai, Vincent Dollmann, turut diugut oleh kumpulan tujuh lelaki yang sebahagiannya bersenjatakan kayu pemukul.
Kumpulan itu menyertai aktiviti menuai zaitun di kawasan tanah milik bandar Kristian Taybeh bersama Konsul Jeneral Perancis di Baitulmuqaddis, isterinya serta beberapa diplomat lain termasuk konsul dari Belgium dan Poland.
Pada awalnya, peneroka haram menyerang sekumpulan pekerja di lereng bukit berhampiran Taybeh. Selain mencuri hasil zaitun, mereka menendang, memaki hamun dan mendera seorang wanita Palestin berusia 70-an, serta memukul seorang lelaki sehingga memerlukan enam jahitan di kepala.
Kumpulan itu kemudian mendekati para diplomat dan Baudoux yang berada di Taybeh bagi melancarkan perjanjian bandar kembar dengan kawasannya di utara Perancis.
Semasa serangan berlaku, militan terbabit memecahkan cermin sebuah kereta kalis peluru milik perwakilan diplomatik Belgium.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Belgium, Maxime Prévot mengecam keras keganasan terhadap warga Palestin, diplomat asing dan wartawan.
Beliau menegaskan negaranya akan terus mendesak Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan ke atas pendatang haram Israel.
“Aktiviti menuai zaitun, melaporkan berita atau menjalankan tugas diplomatik tidak sepatutnya mendedahkan mana-mana pihak kepada risiko serangan.
“Keganasan ini tidak boleh dipisahkan daripada dasar penempatan haram Israel. Pendudukan di wilayah Palestin mesti dihentikan,” kata Prévot.
Paderi bandar Taybeh, Bashar Fawadleh memaklumkan penduduk Palestin di Taybeh telah bertahun-tahun hidup dalam ketakutan akibat ancaman keganasan yang semakin memuncak, namun pendatang haram tidak pernah menyasarkan diplomat asing di kawasan itu sebelum ini.
“Apa yang berlaku hari ini bukannya insiden terpencil. Ia mencerminkan peningkatan keganasan pendatang haram yang amat membimbangkan,” kata Fawadleh.
Sejak musim tuaian zaitun bermula pada akhir September, peneroka haram Israel menggunakan keganasan untuk menghalang penduduk Palestin mengutip hasil tanaman yang amat penting dari sudut ekonomi dan budaya masyarakat tempatan.
Malah, kehadiran aktivis Israel, diplomat, agamawan dan wartawan tidak lagi mampu membendung keganasan melampau berkenaan.
“Jika keganasan sebegini boleh berlaku di hadapan saksi antarabangsa, kita harus bertanya apakah lagi bentuk perlindungan yang tinggal buat keluarga dan petani tempatan apabila saksi-saksi ini tiada lagi di sini.
“Tiada individu yang patut berdepan risiko diserang secara fizikal semata-mata mahu menuai zaitun dari tanah mereka sendiri,” kata Fawadleh. -AGENSI











