Menteri Luar Russia lawat Iran, usaha jadi orang tengah perang

Menteri Luar Russia lawat Iran, usaha jadi orang tengah perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov dijadual tiba di Iran pada Isnin bagi lawatan pertamanya sejak tercetusnya perang di Asia Barat, ketika Moscow berusaha memainkan peranan sebagai orang tengah dalam konflik itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei mengesahkan lawatan itu pada Ahad, sambil berkata, kedua-dua pihak akan membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa.

Lavrov dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi. Beliau berkata, usaha Moscow bertujuan menghalang tercetusnya semula perang berskala besar ketika rundingan antara Teheran dan Washington masih terhenti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lawatan itu menyusul selepas Presiden Russia, Vladimir Putin memberitahu rakan sejawatannya dari Iran, Masoud Pezeshkian pada awal Oktober bahawa Moscow bersedia menyumbang kepada usaha pengantaraan.

Rusia dan Iran, dua negara yang dikenakan sekatan paling berat di dunia, mengekalkan hubungan rapat.

Kerjasama ketenteraan dan ekonomi kedua-dua negara semakin meningkat sejak Russia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.

Perang di Asia Barat tercetus pada Februari susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Walaupun gencatan senjata dicapai pada April, diikuti memorandum persefahaman antara AS dan Iran pada Jun, permusuhan di dalam dan sekitar Selat Hormuz masih berterusan.

Iran mendakwa menguasai laluan perairan strategik itu, yang dalam keadaan biasa menjadi laluan bagi satu perlima daripada hidrokarbon dunia dan kerap menyasarkan kapal yang melaluinya tanpa kebenaran Teheran.

Sebagai tindak balas, Washington terus mengekalkan sekatan laut balas terhadap pelabuhan Iran.

Kementerian Luar Russia berkata, perbincangan semasa lawatan Lavrov dijangka tertumpu pada cara menyelesaikan krisis antarabangsa meruncing yang tercetus akibat pencerobohan tidak sah oleh AS dan Israel terhadap Iran.

Kementerian itu berkata, perang berkenaan menjejaskan kestabilan dan keselamatan bukan sahaja di rantau Asia Barat, malah pada skala global.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini