Ketegangan di Teluk kian memuncak - Utusan Malaysia

Ketegangan di Teluk kian memuncak

HOUTHI menyerang loji penapisan minyak Aramco di selatan Riyadh dengan menggunakan peluru berpandu dan dron. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Ketegangan di rantau Teluk semakin memuncak apabila Arab Saudi melaporkan serangan baharu Houthi, manakala Iran memberi amaran akan bertindak lebih keras ter­hadap sebarang ancaman ke atas negaranya.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, serpihan peluru berpandu balistik yang berjaya dipintasnya telah mencederakan seorang penduduk wilayah Ahad Rafidah di Asir. Ia berlaku sehari selepas sebuah peluru berpandu membedil sebuah sekolah di Najran, minggu lalu.

Dalam hantaran di X, pihak berkuasa itu berkata, serpihan berkenaan turut merosakkan sebuah bilik solat di dalam sebuah bangunan dan beberapa kenderaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Api dan asap turut dilihat menjulang dari sebuah loji milik syarikat minyak Arab Saudi, Aramco, di selatan ibu negara Riyadh pada Sabtu, menurut wartawan AFP.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, mereka menyasarkan lokasi berkenaan menggunakan peluru berpandu balistik dan dron.

Dalam pada itu, pasukan kerajaan Yemen pada Ahad berkata, mereka melancarkan serangan terhadap sasaran Houthi di seluruh negara. Ia sekali gus meningkatkan lagi konflik yang melanda salah sebuah negara termiskin di dunia itu dan rantau sekitarnya.

Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Houthi mendakwa melancarkan serangan ke atas loji minyak itu. Namun, Houthi turut menuduh kerajaan Arab Saudi melancarkan serangan puluhan kali terhadap Sanaa.

Angkatan bersenjata Yemen kemudian melancarkan serangan terhadap Houthi di ibu negara, Sanaa, wilayah Saada di barat laut,  salah satu kubu kuat kumpulan itu dan Taiz di barat daya, kata jurucakap tentera, Kolonel Majid al-Nuzaili.

Yemen  kembali terjerumus ke kancah perang saudara pada Julai selepas beberapa tahun keadaan tenang, dengan kumpulan Houthi  menguasai sebahagian besar wilayah barat laut negara itu termasuk Sanaa.

Houthi kini  berdepan kerajaan Yemen yang diiktiraf ma­syarakat antarabangsa dan di­sokong Arab Saudi.

Kerajaan yang berpusat di bandar Aden itu menguasai sebahagian besar wilayah selatan dan timur negara berkenaan,  kawasan yang lebih luas tetapi kurang padat penduduk.

Sementara itu, pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut berikrar untuk bertindak lebih tegas ketika Amerika Syarikat (AS) menghantar lebih banyak kapal perang ke rantau berkenaan.

“IRGC kini berada dalam keadaan siap sepenuhnya, dengan jari di picu untuk bertindak secara tegas, serta-merta, menyakitkan dan lebih dahsyat berbanding Operasi Janji Benar II terhadap sebarang ancaman, tindakan agresif atau kesilapan perhitungan oleh AS atau negara-negara serantau.

“Kami memiliki maklumat risikan menyeluruh mengenai aset dan kedudukan AS dan Israel,” kata IRGC dalam satu kenyataan dipetik Mehr News ketika perang Iran berlanjutan melebihi tujuh bulan selepas bermula pada 28 Februari.

Operasi Janji Benar itu merujuk kepada serangan peluru berpandu balistik Iran ke atas Israel pada Oktober 2024, ketika Teheran melancarkan kira-kira 200 peluru berpandu.

Amaran itu dikeluarkan ketika AS mengerahkan kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt ke arah Asia Barat, yang berpotensi menempatkan tiga kumpulan tempur kapal pengangkut pesawat berhampiran Iran menjelang akhir November.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN