TEHERAN: Tentera Iran pada Ahad mendakwa menembak jatuh dron serangan sehala LUCAS (Sistem Serangan Tempur Tanpa Pemandu Kos Rendah) milik Amerika Syarikat (AS) di ruang udara bandar pelabuhan selatan, Bandar Abbas.
Ia berlaku ketika Markas Pusat AS (CENTCOM) dilaporkan sudah menyediakan pelan serangan terhadap Iran yang menunggu kelulusan Rumah Putih selepas pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.
Dakwaan menembak jatuh dron itu dibuat ketika Menteri Luar Iran, Abbas Araghch berkata, pengurusan Selat Hormuz tidak akan seperti dahulu dan menggesa pasukan asing meninggalkan rantau berkenaan.
“Dron LUCAS Amerika dimusnahkan selepas ditembak oleh sistem pertahanan udara Tentera Darat di ruang udara Bandar Abbas, di bawah rangkaian pertahanan udara bersepadu negara,” menurut pejabat perhubungan awam tentera itu, seperti dilaporkan agensi berita separa rasmi, Tasnim.
Insiden yang dilaporkan itu berlaku selepas Presiden AS, Donald Trump berkata pada Sabtu bahawa Washington boleh menyerang Iran seawal Ahad atau mencapai perjanjian besar dan hebat dengan Teheran, di tengah-tengah laporan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk melancarkan semula serangan terhadap negara itu.
CENTCOM sudah menyediakan pelan untuk melancarkan serangan susulan terhadap Iran sekiranya mendapat kebenaran Rumah Putih, menurut sumber yang mengetahui perancangan itu kepada laman beritaThe Hill.
Satu lagi sumber berkata, beberapa pilihan serangan telah dikemukakan kepada Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.
Trump akan terus mempertimbangkan semua pilihan sehingga tiba masanya beliau perlu membuat keputusan muktamad, kata sumber kedua itu.
Perang Iran bermula apabila AS bersama Israel menyerang Teheran pada 28 Februari lalu selepas rundingan nuklear antara Teheran dengan Washington menemui kegagalan. – AGENSI











