Iran bincang pelan tujuh hari tamatkan perang, buka semula Selat Hormuz

Iran bincang pelan tujuh hari tamatkan perang, buka semula Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran sedang berbincang dengan pihak perantara mengenai cara melaksanakan pelan tujuh hari bagi menamatkan perang di Asia Barat dan membuka semula Selat Hormuz, kata Menteri Luar, Abbas Araghchi pada Rabu.

Kenyataan itu dibuat ketika ancaman Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk melancarkan semula serangan terhadap Iran semakin meningkat susulan perang yang dimulakan kedua-dua negara itu pada Februari lalu.

“Ketika Angkatan Tentera kita yang berani bersiap sedia sepenuhnya untuk mempertahankan tanah air, Iran terus memberi peluang kepada diplomasi untuk mencapai kejayaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami terus berhubung rapat dengan pihak perantara bagi meneliti cadangan yang boleh memastikan pelaksanaan Pelan Tujuh Hari kami dalam tempoh kurang daripada seminggu,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Pada September, Iran mengemukakan pelan tujuh hari berkenaan kepada AS menerusi Qatar.

Araghchi ketika itu berkata, Selat Hormuz akan dibuka semula dalam tempoh tujuh hari sekiranya syarat yang diperlukan, termasuk gencatan senjata di seluruh Asia Barat dipenuhi.

Iran turut menuntut pembekuan asetnya di luar negara ditamatkan, sekatan terhadap sektor minyaknya ditarik balik dan sekatan laut oleh AS dihentikan.

Laman berita Axios melaporkan pada Rabu, pihak perantara serantau yang diketuai Qatar sedang berusaha mencapai perjanjian diplomatik bagi menyambung semula rundingan AS-Iran dan menghalang perang daripada tercetus semula selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November ini.

Laporan itu yang memetik sumber dari AS, Israel dan beberapa negara lain di rantau berkenaan, menyebut Qatar sedang berusaha memujuk Iran membenarkan pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melawat tapak nuklearnya yang dibom sebagai balasan kepada sedikit pelonggaran sekatan oleh AS.

Satu delegasi Qatar mengunjungi Teheran pada Ahad bagi mengadakan perbincangan mengenai perkembangan semasa, termasuk rundingan terkini, Selat Hormuz dan bekalan tenaga, menurut Iran.

Sejak perang tercetus, Iran mendakwa menguasai Selat Hormuz dan kerap menyasarkan kapal yang cuba melaluinya tanpa kebenaran negara itu, manakala AS mengenakan sekatan laut balas terhadap pelabuhan Iran.

Usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis itu masih menemui jalan buntu, khususnya selepas perjanjian pada Jun yang menggariskan laluan ke arah penyelesaian kekal gagal dimuktamadkan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini