Ikan berkepala lut sinar berjaya dirakam dalam resolusi 4K - Utusan Malaysia

Ikan berkepala lut sinar berjaya dirakam dalam resolusi 4K

IKAN berkepala lut sinar. - Institut Penyelidikan Teluk Monterey
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Penyelidik marin berjaya merakam visual beresolusi tinggi 4K buat julung kalinya bagi spesies ikan laut dalam yang amat jarang ditemui, ikan barrel yang disifatkan orang ramai sebagai makhluk indah tetapi menakutkan.

Resolusi 4K ialah standard ketajaman gambar atau paparan digital yang mempunyai kira-kira 4,000 piksel secara mendatar.

Penemuan ikan itu direkodkan oleh sepasukan saintis Institut Penyelidikan Teluk Monterey (MBARI) semasa menjalankan ekspedisi penyelidikan di perairan pantai California Tengah, Amerika Syarikat (AS).

Memuatkan artikel berkaitan…

Spesies ikan yang mempunyai bahagian kepala lut sinar danorgan mata berbentuk seperti tiub ini ditemukan pada kedalaman kira-kira 600 meter di dasar laut.

Rekod penyelidikan menunjukkan bahawa spesies ikan unik ini hanya pernah ditemukan dan dilihat oleh manusia sebanyak 11 kali sahaja sebelum ini sepanjang sejarah penerokaan marin.

“Peluang menyaksikan sendiri ikan barreleye merupakan satu keistimewaan yang sangat jarang berlaku,” kata saintis kanan penyelidikan berkenaan, Steven Haddock.

Beliau menambah bahawa seluruh anak kapal dan pasukan sains di dalam bilik kawalan terpukau dengan keindahan haiwan berkenaan, sambil berharap penemuan itu dapat memupuk kesedaran menjaga ekosistem ruang kehidupan terbesar di Bumi.

Klip video beresolusi tinggi itu berjaya dirakam apabila pakar penyelidik, Shannon Johnson, secara tidak sengaja apabila beliau terpandang kelibat ikan berkenaan menerusi kenderaan kawalan jauh (ROV) yang dalam perjalanan kembali ke permukaan air.

Lantikan tugasan asal pasukan penyelidik terbabit pada awalnya adalah bagi mengesan spesimen haiwan berjasad agar-agar seperti ubur-ubur dan sifonofor sebelum menemui spesies nadir berkenaan.

Secara biologi, ikan barreleye mendiami kawasan zon senja laut (twilight zone) yang terletak di antara kedalaman 200 hingga 1,000 meter di bawah permukaan laut.

Spesies ini dilengkapi dengan sirip besar yang berfungsi memberikan kestabilan dan kelincahan pergerakan semasa ia memfokuskan pandangan matanya ke arah atas untuk mengesan bayang-bayang mangsa.

Sebaik sahaja sasaran dikesan, bebola mata ikan ini berupaya berputar ke pelbagai arah bagi mengekalkan tumpuan pandangan, manakala lapisan jeli pada bahagian kepala ber­tindak sebagai pelindung fi­zikalnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini