Bekas Menteri Indonesia bidas Syed Saddiq, Grace Fu isu jerebu

Bekas Menteri Indonesia bidas Syed Saddiq, Grace Fu isu jerebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi membidas kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya ASEAN memulaukan Indonesia susulan isu jerebu rentas sempadan yang berulang.

Menerusi akaun Instagramnya, Muhammad berkata, masalah jerebu bukan peluang untuk meraih publisiti politik, murahan, sebaliknya harus ada simpati pada anggota bomba Indonesia yang terkorban ketika memadamkan kebakaran, manakala ratusan ribu rakyat negara itu terpaksa menyedut asap.

“Kepada rakan-rakan saya di Malaysia dan seluruh ASEAN, pelaburan langsung asing dibuat atas kepentingan komersial, bukannya atas dasar amal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kumpulan perladangan Malaysia menguasai sehingga 3.4 juta hektar tanah di seluruh Indonesia kerana Jakarta memberikan mereka lesen dan pengecualian cukai untuk membolehkan perniagaan mereka bertahan dan berkembang, walaupun pengeluar Malaysia berdepan penelitian Amerika Syarikat (AS) berhubung isu perhambaan moden dan buruh kanak-kanak.

“Apabila ahli politik di Parlimen menggesa bank Malaysia menghentikan pembiayaan kepada Indonesia, mereka terlupa siapa sebenarnya yang menerima pembiayaan bank berkenaan, iaitu syarikat Malaysia yang memperoleh aset perladangan di Indonesia. Ia termasuk syarikat gergasi seperti KL Kepong yang kawasan konsesinya baru-baru ini dikenal pasti mempunyai titik panas kebakaran dalam laporan Greenpeace bertarikh 5 Oktober,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa Indonesia sudah menahan 223 individu yang disyaki terlibat, mendakwa sembilan syarikat dan menggantung 26 permit syarikat.

Beliau juga menegaskan, syarikat Malaysia yang mengendalikan ladang di Indonesia perlu turut bertanggungjawab terhadap krisis berkenaan.

“Dakwahlah setiap syarikat yang melanggar peraturan, sama ada dari Indonesia atau Malaysia. Namun, janganlah merendahkan martabat sebuah negara yang mempunyai 280 juta penduduk hanya untuk meraih sokongan politik di Parlimen,” katanya.

Kenyataan beliau menyusuli gesaan Syed Saddiq di Dewan Rakyat minggu lalu supaya Malaysia menggerakkan negara ASEAN untuk mengenakan tekanan diplomatik dan kewangan terhadap Indonesia berhubung masalah jerebu rentas sempadan yang berulang.

Ketika membahaskan Belanjawan 2027, Syed Saddiq menggesa Malaysia menggerakkan negara ASEAN menentang masalah jerebu.

Ini termasuk menghentikan pembiayaan kepada syarikat yang dikaitkan dengan pembakaran terbuka serta menggerakkan pengguna untuk memberi tekanan kepada perniagaan yang terbabit dalam kebakaran itu.

Dalam pada itu, Muhammad turut mempertikaikan langkah Singapura yang merancang menghantar surat amaran kepada beberapa syarikat di Indonesia berhubung isu jerebu rentas sempadan, sambil mempersoalkan sama ada tindakan penguatkuasaan akan terhenti setakat pemberian amaran.

Dalam video yang dimuat naik menerusi akaun Instagram peribadinya, beliau berkata, isu jerebu rentas sempadan perlu dilihat secara lebih menyeluruh, termasuk hubungan perniagaan antara syarikat yang beroperasi di Indonesia dengan kumpulan perniagaan yang beribu pejabat atau disenaraikan di bursa saham Singapura.

Beliau juga mempersoalkan sama ada kerajaan Singapura akan menyiasat syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengan ladang di Indonesia, tetapi menjalankan sebahagian fungsi korporat atau pengurusan modal dari Singapura.

“Kerajaan Singapura mengumumkan akan menghantar surat amaran kepada tujuh syarikat di Indonesia berhubung isu jerebu. Tetapi adakah kerajaan Singapura hanya berani menulis surat untuk menyenangkan hati pengundi dan penderma mereka?” katanya.

Beliau kemudian menyentuh kenyataan Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura, Grace Fu yang mendedahkan nama syarikat terbabit dalam isu jerebu itu.

Menurut beliau, empat daripada tujuh syarikat yang dinamakan merupakan pembekal kepada kumpulan perniagaan besar yang mempunyai syarikat induk dan disenaraikan di bursa saham Singapura.

Beliau turut mengaitkan isu itu dengan laporan Greenpeace pada Oktober 2026 mengenai kumpulan perniagaan minyak sawit yang didakwa mempunyai titik panas kebakaran.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai hubungan pembekal, pemilikan syarikat dan kaitan setiap syarikat dengan kebakaran perlu disahkan menerusi data korporat serta hasil siasatan pihak berkuasa berkaitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini