Arab Saudi serang kemudahan minyak dekat ibu negara Yaman - Utusan Malaysia

Arab Saudi serang kemudahan minyak dekat ibu negara Yaman

ARAB Saudi menyerang sebuah kemudahan minyak dekat Sanaa. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Media Houthi melaporkan Arab Saudi menyerang sebuah kemudahan minyak berhampiran Sanaa pada Selasa, selepas gabungan tentera pimpinan negara itu mengarahkan orang awam berpindah dari kawasan berkenaan.

Wartawan AFP di Sanaa melaporkan terdengar bunyi letupan, manakala siaran berita tergempar stesen televisyen Houthi, Al-Masirah menyatakan bahawa pencerobohan Arab Saudi menyasarkan syarikat minyak di Al-Sabaha, barat Sanaa.

Terdahulu, Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi memberi isyarat serangan terhadap sebuah kemudahan minyak di Sanaa, ibu negara Yaman yang dikuasai kumpulan Houthi, bakal dilancarkan pada Selasa, sambil memberi amaran kepada orang awam di kawasan sekitar supaya berpindah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas beberapa siri serangan terhadap lapangan terbang dan kemudahan minyak kerajaan itu, ini merupakan kali pertama gabungan yang memerangi Houthi mengeluarkan arahan pemindahan penduduk di Sanaa sejak konflik kembali memuncak pada Julai lalu.

Gabungan tersebut menuntut orang awam berpindah dari kawasan Yemen Petroleum Company, Stesen Pusat al-Sabaha di Sanaa. demi keselamatan mereka, kata jurucakapnya, Turki al-Maliki, menerusi platform X, merujuk kepada sebuah lokasi di pinggir barat ibu negara itu.

Houthi segera memberi amaran bahawa sebarang serangan akan dibalas dengan tindak balas keras dan menyakitkan. 

Kumpulan itu turut mengarahkan pekerja meninggalkan kemudahan syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco, selain mengancam untuk menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh, yang menjadi sasaran beberapa kali sepanjang minggu lalu.

Serangan di lapangan terbang itu pada Sabtu mengorbankan 13 orang, sekali gus menggegarkan negara pengeksport minyak mentah terbesar dunia itu dan meningkatkan ketegangan dalam perang di Yaman, yang menyaksikan Arab Saudi menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Arab Saudi masih berdepan serangan baharu pada Selasa, dengan gabungan itu memaklumkan tenteranya memintas tiga dron di utara Riyadh.

Sejak itu, banyak negara mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyat masing-masing di Arab Saudi. 

Terbaharu, Perancis pada Selasa menasihatkan rakyatnya supaya mengelakkan lapangan terbang di Riyadh, Jeddah dan Dammam.

Gabungan pimpinan Arab Saudi telah memberikan sokongan ketenteraan kepada kerajaan Yaman sejak 2015 dalam perang saudara berpanjangan menentang Houthi, yang mencetuskan krisis kemanusiaan berlarutan di negara miskin itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini