ADEN: Tentera Yemen pada Ahad berkata, seramai 260 anggota Houthi terbunuh dalam 97 operasi yang menyasarkan penghantaran pasukan tentera ke barisan hadapan di wilayah Taiz dan Lahj.
Jurucakap tentera, Kolonel Majed al-Nuzaili berkata, operasi itu melibatkan pesawat pejuang, dron, meriam, peluru berpandu dan penembak tepat.
Beliau berkata, 44 kenderaan tentera, kenderaan pengangkutan serta aset bekalan turut musnah atau mengalami kerosakan.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas tentera berkenaan mendakwa sekurang-kurangnya 700 anggota Houthi terbunuh dalam 257 operasi di beberapa medan pertempuran.
Houthi tidak memberikan sebarang komen berhubung dakwaan tentera berkenaan.
Yemen dilanda konflik sejak Houthi merampas ibu negara, Sanaa serta beberapa wilayah pada 2014, menyebabkan gabungan diketuai Arab Saudi campur tangan pada 2015 bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Gencatan senjata pada 2022 runtuh pada Julai dan pertempuran meningkat sejak itu.-AGENSI











