TRIPOLI: Syarikat minyak nasional Libya mengumumkan saluran paip minyak yang disekat kumpulan bersenjata selama beberapa hari sudah dibuka semula, sekali gus menamatkan gangguan yang menurutnya menyebabkan kerugian sekitar AS$95 juta (RM387 juta).
Saluran paip itu menghubungkan medan minyak Al-Sharara di barat daya Libya dengan terminal eksport Zawiya di pantai Mediterranean.
National Oil Corporation (NOC) dalam satu kenyataan berkata, injap nombor tujuh sudah dibuka semula, membolehkan pengepaman minyak mentah melalui saluran paip itu disambung kembali.
Saluran paip berkenaan dikendalikan Akakus, sebuah usaha sama antara NOC, Repsol dari Sepanyol, TotalEnergies dari Perancis, OMV dari Austria dan Equinor dari Norway.
Sebuah kumpulan bersenjata bersama anggota Pengawal Kemudahan Petroleum menutup injap berkenaan pada 21 September, menyebabkan pengeluaran di Sharara yang menjadi medan minyak terbesar Libya merosot dengan ketara.
Gangguan itu dikaitkan dengan tuntutan anggota pengawal berhubung status dan pembiayaan mereka.
Sekatan terhadap kemudahan minyak dan gas sering berlaku di Libya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didorong rasa tidak puas hati masyarakat, ancaman keselamatan atau pertikaian politik.-AFP/AGENSI











