SANAA: Media Ansarollah yang bersekutu dengan Iran melaporkan pada Selasa pemberontak Houthi menyerang beberapa sasaran di Arab Saudi, ketika kumpulan itu meneruskan serangan untuk menawan wilayah berhampiran Selat Bab al-Mandab.
Houthi pada Isnin menuduh Riyadh melancarkan serangan di beberapa kawasan negara itu, termasuk bedilan ke atas sebuah penjara yang mengorbankan banyak nyawa.
“Dron dan peluru berpandu Yemen menghujani musuh Arab Saudi,” menurut Ansarollah menerusi Telegram.
Dalam catatan berasingan, media itu berkata, serangan berkenaan menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha, pangkalan udara King Khalid serta kemudahan milik syarikat minyak milik kerajaan Aramco di Abha dan Jizan.
Arab Saudi tidak segera memberikan komen berhubung laporan itu.
Pertempuran selama beberapa hari berhampiran pantai Laut Merah mengorbankan lebih 300 orang dan menyebabkan ratusan keluarga kehilangan tempat tinggal, ketika Houthi cuba menawan kawasan yang bersempadan dengan Selat Bab al-Mandab.
Selat itu merupakan pintu masuk selatan ke Laut Merah, laluan perkapalan penting yang menjadi semakin kritikal bagi eksport minyak Arab Saudi berikutan sekatan Iran ke atas Selat Hormuz sejak bermulanya perang Amerika Syarikat-Iran.
Almasirah memetik Ketua Pengarah Pertahanan Awam wilayah Jawf, Hassan Saboula berkata, serangan ke atas penjara pada Isnin mengorbankan 11 orang, manakala 20 tahanan masih hilang di bawah runtuhan.
Agensi berita Saba yang mempunyai hubungan dengan gerakan Houthi sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak yang sedang melawat kemudahan berkenaan turut terbunuh dalam serangan itu.
Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Yemen, Hans Grundberg dalam satu kenyataan semalam memberi amaran serangan Houthi mencetuskan pertempuran yang semakin sengit, sekali gus berisiko menularkan lagi konflik.
“Kembalinya pertempuran berskala besar secara berterusan akan membawa kesan buruk kepada orang awam dan menjadikan usaha yang sememangnya sukar ke arah mencapai penyelesaian politik semakin mencabar,” katanya.-AFP








