KAHERAH: Tentera Israel memaklumkan siasatan awal kejadian pembunuhan 15 petugas kecemasan di selatan Gaza bulan lalu menunjukkan insiden itu berlaku akibat ‘rasa terancam’.
Menurut kenyataan tentera rejim Zionis, enam pejuang Hamas telah dikenal pasti berada berhampiran lokasi kejadian di bandar Rafah ketika serangan berlaku.
Siasatan awal menunjukkan askar melepaskan tembakan akibat persepsi ancaman berikutan pertembungan sebelumnya di kawasan berkenaan dengan enam daripada mangsa yang terbunuh kononnya ‘dikenal pasti sebagai militan Hamas’.
Hampir kesemua petugas bantuan kemanusiaan itu ditembak mati pada 23 Mac dan dikebumikan dalam kubur yang digali cetek.
Pada mulanya, tentera Israel mendakwa mereka melepaskan tembakan setelah sebuah kenderaan tidak bertanda menghampiri dalam keadaan gelap.
Namun, naratif ini berubah selepas satu video daripada telefon bimbit seorang daripada petugas yang dibunuh menunjukkan ambulans dan trak bomba yang jelas bertanda serta menyala lampunya ditembak bertalu-talu.
Tentera Israel berkata, siasatan lebih mendalam akan dijalankan dalam beberapa hari akan datang dengan hasilnya akan dikongsi kepada umum.
Sehingga kini, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) belum mengulas penemuan tentera Israel tersebut.
Selepas kejadian yang mendapat perhatian dunia tersebut, PRCS menyeru siasatan bebas antarabangsa dan menegaskan bahawa serangan terhadap konvoi ambulans mereka merupakan jenayah perang sepenuhnya, mencerminkan pola berulang pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Israel.
Mangsa yang terkorban terdiri daripada petugas Palang Merah Antarabangsa (ICRC), PRCS, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin.
Insiden ini mencetuskan kecaman antarabangsa, dengan pelbagai pihak mendesak akauntabiliti terhadap tindakan tentera Israel. PBB sebelum ini menyifatkan serangan terhadap pasukan bantuan sebagai pelanggaran prinsip perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa.