Wanita terselamat selepas kepala hampir 'terputus' akibat bersukan - Utusan Malaysia

Wanita terselamat selepas kepala hampir ‘terputus’ akibat bersukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ILLINOIS: Seorang wanita dari Illinois, Amerika Syarikat (AS) mendedahkan kisah hidupnya yang berubah menjadi mimpi ngeri selepas terlibat dalam kemalangan sukan ketika berusia 16 tahun sehingga hampir menyebabkan kepalanya ‘terputus secara dalaman’.

Megan King, kini berusia 35 tahun, mengalami tragedi tersebut pada tahun 2005 apabila dia melompat untuk menangkap bola ketika dalam kelas pendidikan jasmani dan akibat insiden itu, dia terhempas ke tanah dan mengalami kecederaan serius pada buku lali kanan, tulang belakang, serta otot di kedua-dua belikatnya yang koyak sepenuhnya.

Sejak itu, hidup King tidak pernah sama di mana dia terpaksa menggunakan tongkat selama lebih setahun, namun keadaan kesihatannya semakin merosot seperti sendi-sendi menjadi lemah, otot terus terkoyak dan kesakitan di bahagian belikat menjadi semakin parah.

Sepanjang tempoh itu, dia menjalani sebanyak 22 pembedahan hanya untuk membaiki bahagian belikat dan bahunya namun para doktor gagal mengenal pasti punca sebenar mengapa tubuhnya tidak dapat sembuh seperti biasa.

Ia hanya terungkai selepas 10 tahun kemudian, apabila King akhirnya disahkan menghidap sindrom ‘Ehlers-Danlos hipermobiliti’ (hEDS), sejenis penyakit genetik yang menjejaskan pembentukan kolagen, iaitu tisu utama pada sendi dan akibatnya, sendi menjadi longgar dan mudah terkehel.

Setahun kemudian, bahagian leher King pula terkehel, dan dia terpaksa dipakaikan alat ‘Halo brace’, satu peranti yang dipasang dengan skru pada tempurung kepala untuk mengelakkan leher bergerak.

Namun, semasa proses menanggalkan alat tersebut, berlaku satu detik yang hampir meragut nyawanya, tempurung kepalanya hampir terpisah dari tulang belakang, satu keadaan dikenali sebagai Atlanto-occipital dislocation’ (AOD), atau dalam istilah mudahnya, ‘pemenggalan dalaman’.

“Saya terpaksa memiringkan kerusi saya ke belakang supaya graviti tidak ‘memenggal’ saya dan pakar bedah saraf saya terpaksa memegang tengkorak saya dengan tangan. Saya langsung tidak dapat berdiri. Tangan kanan saya menggeletar tanpa kawalan” ujar King.

Kini, King telah menjalani sebanyak 37 pembedahan dan tubuhnya telah difusi bermakna tulang belakangnya telah disambung dari tengkorak hingga ke pelvis dan ini bermakna dia tidak lagi boleh menoleh, tunduk, atau menggerakkan kepalanya dalam apa jua arah.

Kecederaan AOD merupakan keadaan yang jarang berlaku, iaitu hanya satu peratus daripada semua kecederaan tulang belakang serviks, namun ia amat berbahaya dan sering berakhir dengan kematian kerana ia mengganggu isyarat saraf antara otak dan tubuh, termasuk organ penting seperti paru-paru dan jantung.

AOD lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kerana tulang mereka masih belum matang dan lebih banyak mengandungi tisu rawan dan dalam kes King, gabungan antara jatuhan ketika remaja dan hEDS menjadi punca utama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya