KYIV: Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) sebagai langkah awal ke arah pemeteraian perjanjian pembangunan sumber mineral di Ukraine.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Menteri Ekonomi Ukraine, Yulia Svyrydenko, memorandum tersebut menjadi asas kepada apa yang disifatkannya sebagai perjanjian perkongsian ekonomi yang turut dijangka merangkumi penubuhan dana pelaburan untuk pemulihan semula Ukraine.
“Kami gembira mengumumkan sudah menandatanganan memorandum dengan rakan kongsi dari AS, yang membuka jalan kepada Perjanjian Perkongsian Ekonomi serta penubuhan Dana Pelaburan bagi Pemulihan Ukraine,” tulis beliau di platform media sosial X.
Hantaran Svyrydenko di X turut memaparkan gambar beliau dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent menandatangani dokumen berkenaan secara berasingan melalui panggilan atas talian.
Bessent menjelaskan, perincian perjanjian itu masih dalam peringkat perbincangan lanjut.
“Ia secara asasnya seperti yang telah kita persetujui sebelum ini. Ketika Presiden, Volodymyr Zelensky berkunjung ke sini, kita telah menandatangani memorandum persefahaman.
“Kini kita terus ke arah perjanjian besar, iaitu satu dokumen sepanjang 80 muka surat yang bakal ditandatangani,” kata Bessent.
Presiden AS, Donald Trump turut menyentuh mengenai perjanjian itu dalam sidang media bersama Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.
“Kita ada perjanjian berkaitan mineral yang akan ditandatangani Khamis depan. Sangat hampir dan saya jangka mereka akan patuhi perjanjian itu. Jadi kita akan lihat bagaimana nanti,” ujar beliau.
Setakat ini, Rumah Putih belum memberikan sebarang maklum balas berkenaan kandungan atau masa sebenar pemeteraian perjanjian, menurut laporan agensi berita Reuters.
Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk membentuk perjanjian yang akan memberi akses kepada AS terhadap mineral penting di Ukraine, termasuk sumber minyak dan gas.
Laporan terdahulu menyatakan bahawa dana pelaburan tersebut akan dikendalikan bersama oleh Kyiv dan Washington secara setara.
Zelensky sebelum ini berharap untuk menggunakan perjanjian itu bagi mendapatkan jaminan keselamatan daripada AS sekiranya gencatan senjata dengan Russia berjaya dimeterai.
Namun, rancangan tersebut terganggu pada Februari lalu berikutan pertembungan tegang antara Zelensky dan Trump ketika pertemuan di Rumah Putih.-AGENSI