BANGKOK: Seorang wanita muda yang sebelum ini bekerja sebagai penyapu jalan di Bangkok kini mencipta nama sebagai model selepas kisah hidupnya tular di media sosial, hasil daripada satu pertemuan tidak dijangka dengan seorang jurugambar Rusia.
Kisah hidup Noppajit “Meen” Somboonsate, 28, yang juga ibu tunggal kepada dua anak, bagaikan diangkat daripada naskhah filem apabila dia ditemui secara kebetulan oleh jurufoto Semyon Rezchikov ketika sedang menjalankan tugas menyapu jalan di ibu negara Thailand, bulan lalu.
Rezchikov, yang tertarik dengan kecantikan semula jadi Meen, merakam gambarnya dari jauh sebelum menghampiri wanita itu dan menunjukkan hasil gambar berkenaan sambil memuji kejelitaannya.
Rakaman pertemuan mereka yang dimuat naik ke akaun TikTok milik jurugambar itu pantas meraih perhatian ramai dan menjadi tular.
Kecantikan Meen mencetuskan kekaguman dalam kalangan netizen yang mahu mengenalinya dengan lebih dekat dan tidak lama selepas itu, dia mula menerima pelbagai tawaran daripada agensi media dan peragaan terkenal.
Dalam beberapa temu bual bersama media tempatan, Meen memaklumkan dia telah bekerja sebagai penyapu jalan selama hampir setahun dan berasa selesa dengan kerjanya sebelum ini dan tidak menyangka pertemuannya dengan Rezchikov akan membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
Namun, tuah Meen tidak terhenti di situ. Kecantikannya yang tular menarik perhatian jurusolek terkemuka Thailand, Chatchai Peanfapichart atau lebih dikenali sebagai Nong Chat, yang menjemputnya menjalani sesi solekan percuma.
Menerusi sentuhan profesional itu, Meen ditransformasi menjadi watak Panor daripada filem seram terkenal Art of the Devil 2 (Long Khong).
Gambar-gambar hasil sentuhan Nong Chat sekali lagi mencetuskan fenomena di media sosial dan melonjakkan nama Meen sebagai antara individu paling hangat diperkatakan di Thailand ketika ini.
Berikutan sambutan luar biasa terhadap kemunculannya dalam dunia glamor, Meen mengumumkan persaraan daripada pekerjaan lamanya untuk menumpukan sepenuh masa dalam kerjaya baharunya sebagai model.
Kisah kebangkitan Meen daripada seorang pekerja biasa kepada ikon kecantikan ini menyamai kisah-kisah inspirasi lain yang pernah menggegarkan dunia termasuk Ali Olakunmi dari Nigeria yang pernah tidur di bawah jambatan sebelum menjadi model terkenal, Maleesha Kharwa yang digelar ‘Puteri Slum’ dari India, serta Rita Gaviola, bekas peminta sedekah di Filipina yang kini menjadi peragawati berjaya. -AGENSI