Tujuh ahli Parlimen Britain buat kerja sampingan setiap minggu

Tujuh ahli Parlimen Britain buat kerja sampingan setiap minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seramai tujuh ahli Parlimen di Britain didapati meluangkan purata satu hari bekerja setiap minggu untuk pekerjaan kedua sejak permulaan Parlimen 2024, menurut analisis akhbar The Guardian berdasarkan jumlah jam bekerja yang diisytihar mereka.

Laporan tersebut mendedahkan tujuh ahli politik terbabit bekerja sekurang-kurangnya 300 jam sejak Julai lalu, bersamaan dengan lapan jam seminggu secara purata bagi pekerjaan sampingan, menjadikan keseluruhan lebih 3,000 jam dihabiskan antara mereka dalam tempoh itu.

Antara pekerjaan luar yang dilakukan termasuk sebagai pengacara televisyen, peguam, perunding, pensyarah, penulis dan petani.

Ketua Parti Reform UK, Nigel Farage, muncul sebagai ahli Parlimen meraih pendapatan tertinggi daripada pekerjaan luar setakat ini di mana beliau mengisytiharkan purata 24 jam seminggu dalam pelbagai peranan termasuk pencipta kandungan, pengacara GB News, penganalisis media, penceramah, penulis Telegraph, duta jenama dan pengaruh media sosial.

Bagaimanapun, rekod undian menunjukkan Farage hanya menghadiri satu pertiga daripada jumlah pengundian di Parlimen sepanjang penggal ini, jauh berbeza dengan purata kehadiran ahli Parlimen lain yang mencecah 72 peratus, menurut data daripada Public Whip.

Statistik tersebut tidak termasuk tindakan berkecuali atau tidak mengundi.

Ahli Parlimen dari Parti Konservatif, George Freeman pula bekerja purata 11.5 jam seminggu sebagai penasihat dalam bidang sains dan teknologi kepada beberapa syarikat swasta sejak Julai tahun lalu.

Beliau bagaimanapun menegaskan kerja luar tersebut adalah sebahagian kecil daripada beban kerja mingguannya yang mencecah 70 jam sebagai wakil rakyat di kawasan dan di Westminster.

The Guardian turut melaporkan analisis mereka berdasarkan jam yang dituntut oleh MP melalui pembayaran ad-hoc serta pengiraan jam secara prorata bagi jawatan tetap.

Meskipun Parti Buruh sebelum ini berjanji untuk mengharamkan semua bentuk pekerjaan kedua, pendirian itu kini dilonggarkan kepada larangan hanya terhadap peranan sebagai penasihat atau perunding berbayar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya