WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini mempertimbangkan untuk menawarkan bayaran tunai tahunan kepada setiap penduduk Greenland sebagai sebahagian daripada kempen untuk ‘menawan hati’ rakyat pulau Artik itu agar bersetuju untuk menyertai AS.
Menurut laporan The New York Times, pentadbiran Trump sudah bergerak ke hadapan dengan rancangan rasmi untuk memperoleh Greenland daripada Denmark, termasuk merangka kempen publisiti serta pelbagai insentif untuk meyakinkan 57,000 penduduk pulau tersebut.
Antara tawaran utama yang dipertimbangkan ialah menggantikan subsidi tahunan sebanyak AS$600 juta (RM2.8 bilion) yang kini diberikan oleh kerajaan Denmark kepada Greenland, dengan bayaran langsung bernilai sekitar AS$10,000 (RM47,500) kepada setiap warganya.
Pentadbiran Trump kini dilihat lebih menumpukan kepada pendekatan diplomasi awam berbanding paksaan, termasuk melancarkan kempen media sosial dan iklan bagi memujuk penduduk Greenland supaya menyokong cadangan tersebut.
Antara strategi yang dirancang adalah dengan menonjolkan persamaan budaya dan warisan antara penduduk asli Greenland, iaitu komuniti Inuit, dengan masyarakat Inuit di Alaska yang secara sejarahnya berkongsi asal usul migrasi dari wilayah tersebut sejak ratusan tahun dahulu.
Pentadbiran Trump percaya segala kos kempen untuk memujuk rakyat Greenland akan dapat ditebus semula melalui hasil daripada sumber asli Greenland.