WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata, kini terpulang kepada China untuk kembali ke meja rundingan berhubung isu perdagangan, ketika ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu semakin memuncak.
“Mereka perlu buat perjanjian dengan kita, bukan kita dengan mereka. ‘Bola kini di gelanggang China’,” jelas kenyataan Trump yang dibacakan oleh setiausaha akhbarnya, Karoline Leavitt, dalam satu sidang media di Rumah Putih, pada Selasa.
Leavitt menambah, tiada perbezaan besar antara China dan negara lain kecuali saiznya yang jauh lebih besar.
Beliau juga menegaskan bahawa Trump masih terbuka untuk mencapai perjanjian dengan Beijing.
Namun tekanan kini diletakkan sepenuhnya ke atas China untuk mengambil langkah pertama sambil menyatakan kekuatan pasaran pengguna AS sebagai kelebihan utama.
Dalam kenyataan lain yang dibuat di laman sosial Truth Social, Trump turut mendakwa China menarik diri daripada perjanjian besar dengan syarikat penerbangan Boeing.
Kenyataan itu dibuat selepas laporan Bloomberg menyatakan bahawa Beijing mengarahkan syarikat penerbangan domestiknya menghentikan pengambilan pesawat baharu daripada syarikat penerbangan gergasi AS itu.
“Menariknya, mereka telah mungkir terhadap perjanjian besar dengan Boeing, mengatakan mereka tidak akan mengambil pesawat yang telah dipersetujui sepenuhnya,” kata Trump dalam hantaran di media sosial tersebut.
Beliau turut berkata, China gagal mematuhi sepenuhnya perjanjian perdagangan yang sebelum ini dimeterai semasa penggal pertamanya sebagai Presiden, yang bertujuan meredakan perang tarif yang memuncak ketika itu.
Ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing terus membara sejak Trump kembali memegang jawatan pada Januari.
Langkah terbaharu beliau mempertingkatkan tarif terhadap barangan dari China sebagai tindak balas terhadap amalan perdagangan yang dianggap tidak adil, termasuk peranan Beijing dalam rantaian bekalan fentanil mencetus perang perdagangan global.
Setakat tahun ini sahaja, pentadbiran Trump telah mengenakan tarif tambahan sebanyak 145 peratus terhadap pelbagai barangan dari China termasuk 20 peratus ke atas fentanil dan dadah terlarang lain, serta 125 peratus lagi kerana isu perdagangan.
Namun begitu, terdapat pengecualian sementara terhadap produk teknologi tertentu seperti telefon pintar dan komputer riba daripada dikenakan cukai baharu tersebut.-AGENSI