Trump jadi sasaran ejekan media sosial China - Utusan Malaysia

Trump jadi sasaran ejekan media sosial China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang kembali memuncak mencetuskan gelombang kecaman, ejekan serta sindiran tajam terhadap Presiden AS, Donald Trump dan dasar tarifnya, terutamanya melalui platform media sosial dan saluran media rasmi China.

Akaun TikTok dan Weibo milik pengguna China giat menyiarkan video dan meme yang mempersenda AS, termasuk kandungan yang dijana Kecerdasan Buatan (AI) yang menggambarkan kehidupan daif di sebuah Amerika Syarikat pasca perindustrian semula, dengan pekerja kilang obes menjahit pakaian murah menggunakan mesin lama.

Sementara itu, akaun TikTok seperti milik Ben Lau pula menyiarkan klip pendek menggambarkan pekerja AS bekerja dalam keadaan menyedihkan, menjahit pakaian di kilang-kilang usang akibat lonjakan semula perindustrian berikutan dasar tarif baharu Trump.

Video itu tular dengan komen-komen tajam daripada pengguna China dan warga AS sendiri.

“Industri pembuatan berkemahiran rendah tidak akan kembali ke AS. Pembuatan berkemahiran tinggi pula tidak mungkin datang kerana sistem pendidikan telah rosak,” ujar seorang pengguna.

“Amerika akan jadi negara termiskin di bawah pemerintahan Trump,” komen seorang lagi secara sinis.

AS mula melaksanakan tarif import baharu sebanyak 104 peratus terhadap barangan dari China sejurus selepas tengah malam, sekali gus memberi tekanan kepada rantaian bekalan yang selama ini bergantung kepada produk dan komponen dari negara tersebut.

Sementara itu, pasaran saham Eropah turut merudum susulan penguatkuasaan tarif AS terhadap barangan import, menyebabkan pelabur menjual saham secara besar-besaran.

Sektor farmaseutikal turut terjejas, dengan syarikat gergasi Britain seperti AstraZeneca dan GSK masing-masing susut lebih empat peratus. Syarikat Denmark, Novo Nordisk yang menghasilkan ubat diabetes dan penurunan berat badan seperti Ozempic dan Wegovy, juga jatuh hampir lima peratus.

Perkembangan ini sekali gus menunjukkan impak besar yang sedang dihadapi ekonomi global susulan tindakan unilateral Washington dalam mencetuskan perang tarif berskala besar terhadap rakan dagang utama dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya