WASHINGTON: Donald Trump telah memberi kuasa kepada tentera Amerika Syarikat (AS) bagi mengawal tanah di sempadan AS-Mexico sebagai sebahagian daripada usaha presiden itu membendung kemasukan pendatang tanpa izin.
Kebenaran ini dikeluarkan melalui memorandum Trump kepada Setiausaha Dalam Negeri Doug Burgum, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kristi Noem dan Setiausaha Pertanian Brooke Rollins, yang menggariskan dasar baharu mengenai penglibatan tentera di sempadan selatan AS, pada Jumaat.
Memorandum berjudul ‘Misi Tentera untuk Menutup Sempadan AS Selatan dan Menangkis Pencerobohan’ itu membenarkan angkatan tentera AS mengambil peranan langsung dalam mengamankan sempadan berkenaan.
“Sempadan selatan kita diserang pelbagai ancaman. Kerumitan situasi semasa memerlukan tentera kita memainkan peranan lebih langsung berbanding sebelum ini,” dakwa perintah itu.
Memorandum itu menambah, Jabatan Pertahanan harus diberi bidang kuasa ke atas tanah persekutuan, termasuk Rizab Roosevelt iaitu jalur tanah selebar 60 kaki merentasi California, Arizona dan New Mexico yang memberi hak kepada tentera untuk menahan pendatang yang dituduh menceroboh sebelum diserahkan kepada agen imigresen.
Menurut memorandum itu juga, aktiviti tentera yang boleh dijalankan di tanah persekutuan termasuk pembinaan tembok sempadan serta pemasangan peralatan pengesanan dan pemantauan.
Selepas 45 hari, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth akan menilai fasa awal pelaksanaan perintah ini. Pada bila-bila masa, Hegseth boleh melanjutkan jumlah tanah persekutuan yang dimasukkan di bawah memorandum.
Pengambilalihan tentera ini tidak meliputi tanah rizab Orang Asli Amerika, menurut dokumen tersebut.
Antara justifikasi utama Trump dan Republikan untuk mengerahkan tentera di sempadan ialah dakwaan bahawa pendatang tanpa izin dari Mexico membawa sebahagian besar fentanil yang dijual di AS. Namun statistik rasmi menunjukkan 90 peratus peniaga fentanil yang disabitkan kesalahan ialah warganegara AS.