Trump ancam larang pelajar asing masuk Harvard

Trump ancam larang pelajar asing masuk Harvard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengancam untuk melarang Universiti Harvard daripada mendaftarkan pelajar asing, selepas institusi itu menegaskan tidak akan tunduk kepada tuntutan daripada pentadbiran Presiden, Donald Trump.

Rumah Putih menuntut universiti tertua di AS itu membuat perubahan terhadap pengambilan staf, kemasukan pelajar dan kaedah pengajaran yang dikatakan akan membantu memerangi antisemitisme di kampusnya.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem menuduh universiti terkemuka itu mengancam keselamatan negara dan tunduk kepada antisemitisme.

Beliau turut menuntut rekod pemegang visa pelajar asing yang didakwa terlibat dalam aktiviti haram dan ganas.

Pelajar antarabangsa mewakili lebih 27 peratus daripada jumlah kemasukan ke Harvard tahun ini.

“Universiti tidak akan menyerahkan kebebasannya atau melepaskan hak perlembagaannya,” tulis Presiden Harvard, Alan Garber, dalam satu mesej kepada komuniti Harvard pada Isnin.

Pihak berkuasa telah membekukan dana persekutuan berjumlah AS$2.2 bilion (RM9.69 bilion), manakala Trump sebelum ini turut mengancam untuk menarik balik pengecualian cukai penting, yang boleh menyebabkan Harvard kehilangan berjuta-juta dolar setiap tahun jika dihapuskan.

“Harvard tidak lagi boleh dianggap sebagai tempat pembelajaran yang baik, dan tidak harus disenaraikan dalam mana-mana senarai universiti atau kolej terbaik dunia.

“Harvard adalah satu gurauan, mengajar kebencian dan kebodohan, dan tidak seharusnya lagi menerima Dana Persekutuan,” kata Trump di platform Truth Social miliknya pada Rabu.

Serangan pentadbiran terhadap Harvard bukanlah kes terpencil.

Semasa kempen presidennya, Trump mencadangkan pemotongan dana dengan menggambarkan institusi tersebut sebagai tidak mesra kepada konservatif.

Sejak mengambil alih jawatan, pentadbirannya memberi tumpuan khusus kepada kolej yang menyaksikan protes pro-Palestin berlaku.

Beberapa pelajar Yahudi mengatakan mereka berasa tidak selamat dan mengalami gangguan di kampus.

Pasukan petugas antisemitisme kerajaan, yang ditubuhkan pada Februari, telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 60 universiti untuk semakan.

Pada Mac, Universiti Columbia bersetuju dengan beberapa tuntutan pentadbiran, selepas dana persekutuan berjumlah AS$400 juta (RM1.76 bilion) ditarik balik atas dakwaan universiti tersebut gagal menangani antisemitisme di kampus.

Ini termasuk menggantikan Ketua Jabatan Pengajian Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika serta berjanji untuk menjalankan semakan bagi memastikan proses kemasukan yang adil.

Harvard juga telah membuat beberapa tindakan.

Bulan lalu, universiti itu memecat kepimpinan Pusat Pengajian Asia Barat selepas menerima kritikan kerana gagal mewakili perspektif Israel.

Bagaimanapun, Harvard masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tuntutan terbaharu daripada Noem.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya