GAZA: Tentera Israel meratakan kawasan luas di Gaza untuk dijadikan zon pembunuhan, di mana sesiapa yang memasuki kawasan itu akan menjadi sasaran, menurut keterangan askar yang melaksanakan rancangan tersebut.
Tentera rejim itu mendakwa, mereka diperintahkan untuk memusnahkan rumah, kilang, dan tanah pertanian kira-kira satu kilometer di dalam sempadan Gaza bagi mewujudkan ‘zon penampan’, dengan seorang askar menggambarkan kawasan itu seperti Hiroshima.
Keterangan ini merupakan antara pengakuan pertama askar Israel yang diterbitkan sejak Oktober 2023 yang dikumpulkan oleh Breaking the Silence, sebuah kumpulan yang ditubuhkan pada 2004 oleh veteran Israel bertujuan mendedahkan realiti penguasaan tentera ke atas rakyat Palestin.
Laporan bertajuk ‘The Perimeter’ yang diterbitkan pada Isnin, mendedahkan tujuan rancangan tersebut iaitu mewujudkan satu kawasan luas yang dapat memberikan pandangan jelas kepada tentera Israel (IDF) untuk mengenal pasti dan membunuh militan.
“Kawasan ini tidak boleh mempunyai tanaman, struktur, atau manusia. Hampir setiap objek, infrastruktur, dan bangunan dalam perimeter dimusnahkan,” menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, askar diberikan arahan untuk memusnahkan apa sahaja dalam perimeter yang ditetapkan secara sengaja, teratur, dan sistematik termasuk kawasan kejiranan kediaman, bangunan awam, institusi pendidikan, masjid, dan kubur, dengan sangat sedikit pengecualian.
Kawasan ini merangkumi sepanjang sempadan dengan Israel, dari pantai Mediterranean di utara hingga ke sudut tenggara Gaza bersebelahan Mesir.
Seorang sarjan dalam kor jurutera tempur berkata, sebaik kawasan dalam perimeter kosong daripada penduduk Gaza, mereka mula menerima misi untuk merobohkan rumah atau apa saja yang tinggal.
“Menjadi rutin selepas bangun pagi, setiap platun mendapat lima, enam, atau tujuh lokasi, tujuh rumah yang perlu dimusnahkan. Kami tidak tahu banyak tentang tempat yang kami musnahkan atau mengapa kami melakukannya.
“Dari perspektif saya sekarang, ia tidak wajar. Apa yang dilihat di sana, setakat yang boleh saya nilai melampaui apa yang boleh saya justifikasi sebagai keperluan,” katanya.
Seorang askar tanpa nama yang memberikan keterangan kepada Breaking the Silence berkata, unitnya diarahkan untuk menembak sesiapa sahaja dalam kawasan perimeter. Mentaliti dalam unit mereka ialah tiada ‘orang awam’ dan sesiapa yang masuk ke perimeter akan dianggap sebagai pengganas.
Bagaimanapun, peraturan tentang siapa yang boleh dibunuh berbeza antara unit.
Seorang sarjan dalam kor berperisai berkata pada 2024, dia menerima arahan ‘tembak hingga mati’ untuk mana-mana lelaki dewasa yang memasuki perimeter.
“Untuk wanita dan kanak-kanak, (arahannya) ‘tembak untuk halau’, dan jika mereka mendekati pagar, hentikan mereka. Jangan bunuh wanita, kanak-kanak, atau warga emas. ‘Tembak untuk halau’ bermakna tembakan kereta kebal,” katanya.
Namun, seorang kapten dalam unit berperisai yang beroperasi di Gaza lebih awal dalam perang pada November 2023 menggambarkan sempadan itu sebagai ‘zon pembunuhan’.