BIRMINGHAM: Tentera Britain dikerah menangani krisis kebersihan yang semakin meruncing di Birmingham apabila mogok pekerja kutipan sampah yang berlarutan sejak Januari lalu menyebabkan kota itu dipenuhi sampah dan menjadi sarang tikus.
Walaupun anggota tentera tidak akan turun padang mengangkut timbunan sampah yang berselerak di jalanan, beberapa pegawai tentera yang pakar dalam perancangan operasi telah ditempatkan bagi memberikan sokongan logistik kepada Majlis Bandaraya Birmingham.
Tindakan itu susulan pengisytiharan ‘insiden besar’ oleh majlis berikutan risiko kesihatan awam yang semakin membimbangkan.
Jurucakap kerajaan berkata, sokongan tambahan ini bertujuan memastikan respons segera di peringkat lapangan, apatah lagi musim panas dijangka tiba yang akan memburukkan keadaan sampah membusuk dan risiko penyakit berjangkit.
Masalah ini menjadi semakin parah apabila lebih 400 pekerja kutipan sampah mengambil tindakan mogok secara berselang sejak awal tahun, disebabkan pertikaian berpanjangan berhubung skim gaji dan penstrukturan semula oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Akibatnya, timbunan sampah dianggarkan mencecah lebih 17,000 tan kini menjadi ‘syurga’ kepada ribuan tikus yang membiak tanpa kawalan.
Lebih menyedihkan, khidmat kawalan perosak yang dahulunya percuma kini dikenakan caj 24 pound (RM139) bagi setiap panggilan dan bakal dinaikkan kepada 26.40 pound (RM153), tindakan yang mengundang kemarahan penduduk tempatan yang sudah pun terhimpit dengan kos sara hidup.