WASHINGTON: Barangan elektronik yang diimport ke Amerika Syarikat (AS) akan dikecualikan daripada tarif balas Presiden Donald Trump, menurut notis Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) yang dikeluarkan lewat Jumaat.
Telefon pintar, monitor komputer, dan pelbagai komponen elektronik antara produk yang dikecualikan dan pengecualian juga terpakai untuk produk yang memasuki AS atau dikeluarkan dari gudang seawal 5 April, menurut notis tersebut.
Keputusan ini dibuat selepas pentadbiran Trump mengenakan kadar tarif minimum 145 peratus ke atas barangan China yang diimport ke AS pada Rabu lalu. Bagaimanapun, tarif 20 peratus ke atas barangan China berkaitan perdagangan fentanil tetap dikekalkan. Pengecualian tarif ini memberi kesan besar kepada gergasi teknologi seperti Apple yang menghasilkan iPhone dan produk lain di China.
Menurut anggaran Wedbush Securities, kira-kira 90 peratus pengeluaran dan pemasangan iPhone Apple berpusat di China.
Penganalisis Wedbush pada Sabtu menyifatkan pengecualian ini sebagai berita terbaik untuk pelabur teknologi seperti Apple, Nvidia, Microsoft dan industri teknologi secara amnya.
Counterpoint Research, firma yang memantau penghantaran telefon pintar global, menganggarkan Apple mempunyai inventori sehingga enam minggu di AS. Sekiranya bekalan habis, harga dijangka akan meningkat.
Rumah Putih pada Sabtu menyatakan Trump akan terus mendesak syarikat teknologi memindahkan pengeluaran ke AS dan menegaskan AS tidak boleh bergantung pada China untuk menghasilkan teknologi kritikal seperti semikonduktor, cip, telefon pintar dan komputer riba.
Pakar ekonomi memberi amaran bahawa kos tarif akhirnya mungkin ditanggung pengguna. Kebimbangan ini mendorong ramai rakyat AS membeli barangan mahal seperti kereta dan elektronik, dengan sentimen pengguna menjunam ke tahap terendah.
Pentadbiran Trump mendakwa tarif ini akan membawa lebih banyak pekerjaan pembuatan ke AS dan memulihkan kemerosotan selama beberapa dekad. Namun, sesetengah produk sukar dihasilkan atau diperoleh di AS yang menyebabkan peningkatan kos pengeluaran di kilang tempatan.
Semikonduktor dan mikrocip antara produk yang banyak dikilangkan di Asia kerana kos lebih rendah. dengan pengecualian ini mungkin membantu pembuat cip Asia seperti TSMC, Samsung Korea Selatan dan SK Hynix.