WASHINGTON: Microsoft Corp menangguhkan pelan pelaburan bernilai AS$1 bilion (RM4.75 bilion) untuk membina pusat data di Ohio, Amerika Syarikat, dengan alasan melakukan penyusunan semula strategi pelaburan, selain tarif baharu diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bakal memberi tamparan hebat kepada industri tersebut.
Menurut laporan stesen tempatan WBNS, syarikat itu sebelum ini mengumumkan rancangan pembinaan kemudahan pusat data di tiga kawasan iaitu New Albany, Heath dan Hebron yang dijangka bermula pada Julai tahun ini.
Bagaimanapun, Microsoft pada Isnin lalu memaklumkan mereka kini ‘menangguhkan pelan tersebut’ dan akan menilai semula pembinaan berkenaan pada masa hadapan.
“Kami akan terus menilai lokasi-lokasi ini berdasarkan strategi pelaburan semasa,” kata jurucakap syarikat itu.
Microsoft turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan kerjasama kerajaan negeri Ohio serta sokongan penduduk Licking County.
Pelan asal melibatkan AS$700 juta (RM31 bilion) untuk kos pembinaan dan AS$300 juta (RM1 bilion) lagi bagi peralatan teknologi, dengan jangkaan mewujudkan 400 peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan serta ratusan jawatan tetap selepas operasi bermula.
Setiap tapak dirancang menempatkan sekurang-kurangnya sebuah bangunan pusat data dengan potensi pengembangan beberapa bangunan tambahan serta turut diluluskan oleh Majlis
Bandaraya New Albany bagi pengecualian cukai hartanah selama 15 tahun bagi menyokong projek tersebut.
Namun, meskipun pembinaan dibatalkan, Microsoft memberi jaminan untuk meneruskan komitmen terhadap perjanjian pembangunan, termasuk menaik taraf jalan raya dan kemudahan utiliti, serta membenarkan tanah tersebut digunakan untuk pertanian buat masa ini.
Pusat data itu dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan perkhidmatan awan Azure yang kini mendapat permintaan tinggi susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penyimpanan data.