DUSHANBE: Tajikistan telah memperkenalkan hukuman penjara sehingga 10 tahun bagi kesalahan penggunaan elektrik secara haram berikutan krisis tenaga berlanjutan selama berdekad dan semakin buruk akibat kekurangan air di negara Asia Tengah yang miskin ini.
Penggunaan elektrik di Tajikistan dihadkan selama kira-kira enam bulan setiap tahun, kerana infrastruktur tenaganya yang lapuk tidak mampu menampung permintaan yang semakin meningkat.
Kementerian Tenaga dan Sumber Air negara itu mengumumkan langkah untuk memperkenalkan liabiliti jenayah bagi pelanggaran peraturan penggunaan elektrik, pada Sabtu.
Sebagai tanda kawalan ketat kerajaan terhadap media dan aliran maklumat, berita ini hanya dilaporkan oleh media bebas pada Isnin.
Di bawah peraturan baharu ini, sesiapa yang didapati cuba memutuskan atau memintas meter elektrik akan berhadapan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Bekas negara Soviet itu diperintah oleh Presiden Emomali Rakhmon yang juga bekas ketua ladang negara yang memegang kuasa sejak 1992.
Menteri Keadilan Rustam Shoemurod berkata pada awal April lalu bahawa mereka yang mengubah bacaan meter atau memintasnya untuk mengelak bayaran merosakkan kepentingan ekonomi negara secara serius.
Kekurangan air yang diperlukan untuk menghidupkan loji hidroelektrik dan menjana kira-kira 95 peratus bekalan elektrik Tajikistan telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang kerap selama bertahun-tahun.
Rakyat Tajikistan terpaksa menghadapi musim sejuk yang panjang dengan bekalan elektrik yang tidak menentu dan kini berdepan risiko hukuman penjara yang berat jika cuba mendapatkan bekalan elektrik secara haram.