SEOUL: Dunia kembali digemparkan dengan pendedahan mengerikan mengenai kekejaman rejim Korea Utara terhadap tahanan politiknya apabila beberapa bekas pegawai dan mangsa menceritakan penyeksaan kejam yang dilakukan dengan alasan penyelidikan saintifik dan keselamatan negara.
Kwon Hyuk, bekas Ketua Pengurusan di Kem 22 yang terletak di kawasan pergunungan terpencil di wilayah Hamgyong Utara, secara terbuka mengakui tidak berasa sedikit pun simpati terhadap kanak-kanak yang mati dalam kesakitan di kem tahanan itu.
“Adalah satu pembohongan jika saya katakan saya simpati terhadap kanak-kanak itu. Dalam sistem dan rejim ketika itu, saya melihat mereka sebagai musuh negara. Maka saya tidak rasa apa-apa,” katanya dalam temu bual bersama BBC.
Menurutnya, antara peristiwa paling menyayat hati yang disaksikannya ialah apabila seisi keluarga termasuk ibu bapa dan dua anak dijadikan bahan uji kaji gas beracun sehingga mati dalam sebuah bilik.
Namun Kwon bukanlah satu-satunya suara yang membongkar sisi gelap rejim Pyongyang, Soon Ok-lee, seorang bekas tahanan yang pernah dipenjarakan selama tujuh tahun di Kem Kaechon di wilayah Pyongbuk turut tampil mendedahkan penderitaan yang dialaminya.
Dalam bukunya Eyes of the Tailless Animals: Prison Memoirs of a North Korean Woman, dia mendakwa diarahkan memberikan kubis yang direndam racun kepada 50 tahanan wanita yang sihat.
Berdasarkan lebih 500 testimoni pelarian Korea Utara mendakwa pegawai keselamatan memeras ugut keluarga supaya menyerahkan saudara mereka untuk dijadikan bahan kajian yang membawa maut.