WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth didakwa mencipta kumpulan perbualan kedua dalam aplikasi Signal yang melibatkan ahli keluarganya bagi berkongsi butiran terperinci mengenai serangan udara terhadap pemberontak Houthi di Yemen pada Mac lalu.
Menurut laporan The New York Times, maklumat yang dikongsi ini dikatakan serupa dengan yang dibincangkan dalam kumpulan perbualan lain bersama pemimpin kanan pentadbiran Trump.
Seorang sumber yang mengenali kandungan mesej serta senarai penerimanya telah mengesahkan kewujudan kumpulan kedua ini kepada Associated Press.
Kumpulan perbualan tersebut yang menggunakan aplikasi Signal iaitu sebuah platform mesej komersial yang tidak dibenarkan untuk komunikasi rasmi berkaitan maklumat pertahanan negara dilaporkan mempunyai 13 orang ahli dan dinamakan ‘Defense Team Huddle’.
NYT mendedahkan kumpulan ini turut memasukkan Jennifer Hegseth, isteri Pete yang merupakan bekas penerbit Fox News, serta abangnya Phil Hegseth yang berkhidmat di Pentagon sebagai penasihat kanan dan perantara bagi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Kedua-dua individu ini dikatakan kerap mengikuti Hegseth dalam lawatan rasmi dan menghadiri mesyuarat peringkat tinggi.
Pendedahan ini mencetuskan gelombang kritikan baharu terhadap Hegseth dan pentadbiran Trump yang sehingga kini dilihat gagal mengambil tindakan tegas terhadap pegawai keselamatan negara yang terlibat dalam perbincangan operasi ketenteraan melalui platform tidak rasmi ini.
“Maklumat terus terdedah. Pete Hegseth membahayakan nyawa orang namun Trump masih tidak berani memecatnya,” kata Ketua Demokrat Senat Chuck Schumer.
Sebelum ini, kumpulan Signal pertama yang diwujudkan oleh penasihat keselamatan negara Mike Waltz serta beberapa menteri kabinet. Kandungan perbualan ini terbongkar apabila Ketua editor The Atlantic, Jeffrey Goldberg yang turut dimasukkan ke dalam kumpulan tersebut, mendedahkan butiran perbincangan.
Rumah Putih dan Majlis Keselamatan Negara AS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan isu tersebut.