GAZA CITY: Selepas menyekat bantuan kemanusiaan, kini rejim Zionis menghentikan pula bekalan air ke Semenanjung Gaza, sekali gus memutuskan sehingga 70 peratus daripada keseluruhan bekalan air ke wilayah itu.
Jurucakap Majlis Perbandaran Gaza, Hosni Mehanna berkata, sekatan itu membabitkan saluran paip Utama di Kawasan kejiranan Shujaiya di timur Gaza City.
“Punca sebenar sekatan masih belum dikenal pasti, tetapi kami akan menyiasat sama ada saluran paip itu musnah akibat bedilan udara tentera Israel atau ini satu lagi seksaan rejim Zionis untuk rakyat Gaza,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan gangguan berpunca daripada tindakan ketenteraan secara langsung atau keputusan politik yang disengajakan oleh pihak berkuasa Israel.
Jelasnya, jika bekalan air tidak dipulihkan dalam masa terdekat, Gaza berdepan krisis air yang serius.
Sebelum ini, tentera Israel menyekat kemasukan trak yang membawa bantuan kemanusiaan dengan agensi hak asasi manusia menyifatkannya sebagai cara untuk menyeksa dan membiarkan lebih ramai penduduk Gaza mati.
Dalam perkembangan lain, Mesir sekali lagi menegaskan pendiriannya menolak sebarang cubaan mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka, sambil memberi amaran terhadap tindakan masyarakat antarabangsa yang membisu dengan perkembangan di Palestin, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Perkara itu disuarakan dalam pertemuan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty bersama delegasi daripada Pergerakan Fatah Palestin, ketika mereka membincangkan situasi semasa di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat susulan peningkatan ketara tindakan ketenteraan oleh Israel.
Abdelatty turut membincangkan pelan pembinaan semula Gaza oleh negara-negara Arab.