WASHINGTON: Presiden, Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif terhadap produk farmaseutikal yang diimport, berharap tindakannya itu akan memaksa syarikat terlibat memindahkan operasi mereka ke Amerika Syarikat (AS).
Trump mengecualikan sektor farmaseutikal daripada pusingan besar tarif timbal balik yang diumumkannya minggu lalu, tetapi mencadangkan industri ubat akan menjadi sasaran.
“Tidak lama lagi, kami akan mengumumkan tarif besar ke atas farmaseutikal. Apabila mendengarnya, saya pasti syarikat-syarikat akan meninggalkan China dan tempat lain kerana kebanyakan produk mereka dijual di sini,” kata Trump semasa majlis makan malam Jawatankuasa Kongres Republikan Kebangsaan, kelmarin.
Februari lalu, Trump berkata, tarif ke atas ubat-ubatan yang diimport berkemungkinan akan bermula sekitar 25 peratus dan boleh meningkat lebih tinggi.
Tarif ke atas import ubat akan meningkatkan harga pengguna, dengan penganalisis dan pakar akademik sudah memberi amaran ia akan turut menjejaskan pasaran saham, dan meningkatkan kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi yang boleh memberi kesan buruk kepada Republikan sebagai parti berkuasa.
Namun, Trump sebaliknya mendakwa, tarif tersebut akan memberi manfaat kepada Republikan pada pilihan raya pertengahan penggal 2026.
“Kita akan memenangi pilihan raya pertengahan penggal dan memperoleh kemenangan besar, saya benar-benar yakin dan saya rasa kita banyak dibantu oleh situasi tarif yang sedang berlaku.
“Ini adalah situasi terbaik bukan buruk. Ia akan menjadi lagenda dengan cara yang positif,” kata Trump.
Pentadbiran Trump terus menggoncang pasaran global selepas Rumah Putih meningkatkan tarif ke atas barangan China sehingga 104 peratus yang mula berkuat kuasa semalam.
Trump mengumumkan tarif tambahan 50 peratus ke atas China, di samping cukai awal 20 peratus dan tarif timbal balik 34 peratus, selepas China mengenakan cukai balas ke atas produk AS.–AGENSI