LOS ANGELES: Keunikan bukan lagi asing bagi Chanel Tapper, seorang wanita dari California yang memegang rekod Rekod Dunia Guinness sebagai pemilik lidah terpanjang di dunia bagi kategori wanita.
Dengan panjang mencecah 9.75 sentimeter, Tapper, 34, mampu melakukan pelbagai aksi luar biasa termasuk menarik blok permainan Jenga, membalik cawan plastik, menyentuh hujung hidung serta bawah dagunya, malah mengangkat sudu hanya dengan menggunakan lidahnya.
Namun, aksi paling digemarinya adalah saat memperlihatkan lidahnya kepada orang ramai dan melihat reaksi terkejut mereka.
“Sejujurnya, reaksi terbaik yang pernah saya dapat ialah apabila orang menjerit. Ada yang menjerit kerana terkejut, ada yang takut. Itu reaksi kegemaran saya kerana ia sangat dramatik. Saya bangga dengan keunikan ini,” katanya.
Tapper mula menyedari kelainan lidahnya sejak berusia 11 tahun apabila sering diejek rakan kerana suka menjelir lidah.
Tidak lama kemudian, videonya menjadi tular dalam YouTube, memaparkan panjang lidahnya yang luar biasa sebelum Rekod Dunia Guinness kemudian menjemput Tapper ke sebuah acara di Los Angeles pada tahun 2010 bagi mengesahkan ukuran lidahnya secara rasmi.
Dalam acara itu, dia berjaya mengatasi dua pencabar lain dan memperolehi pengiktirafan dunia.
Lidah Tapper diukur lebih panjang sekitar 1.9 sentimeter daripada purata panjang lidah wanita, dan 1.2 sentimeter daripada purata lelaki, sekali gus menjadikannya pemegang rekod yang sah sehingga hari ini.