Satelit Biomass bantu hasilkan peta 3D hutan tropika terpencil dunia - Utusan Malaysia

Satelit Biomass bantu hasilkan peta 3D hutan tropika terpencil dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Saintis bersedia menyertai misi mencipta peta 3D terperinci hutan tropika yang paling terpencil, padat dan gelap di dunia dari angkasa lepas.

Pencapaian ini akan direalisasikan menggunakan pengimbas radar khas yang dipasang pada satelit dinamakan Biomass yang akan dilancarkan ke orbit Bumi pada akhir bulan ini.

Selama lima tahun akan datang, satelit seberat 1.25 tan ini akan mengimbas hutan hujan tropika di Afrika, Asia dan Amerika Selatan serta menembusi kanopi setinggi 40 meter untuk mengkaji tumbuh-tumbuhan di bawahnya. Data yang dikumpul oleh Biomass kemudiannya akan digunakan untuk mencipta peta 3D unik hutan yang biasanya tersembunyi dari pandangan manusia.

Kurang daripada dua peratus cahaya matahari sampai ke lantai hutan di kawasan ini, namun Biomass mampu mengkajinya dengan perincian tiada tandingan dari ketinggian lebih 600 kilometer (km).

Misi ini akan membolehkan saintis mengira jumlah karbon yang tersimpan dalam hutan dan mengukur perubahannya selagi manusia terus menebang pokok di kawasan tropika serta meningkatkan tahap karbon dioksida di atmosfera.

Biomass yang dibina oleh konsortium diketuai Airbus United Kingdom (UK) dan dibiayai Agensi Angkasa Eropah (Esa) akan memetakan geologi dan topografi bawah permukaan hutan sambil menyediakan data tentang kadar kehilangan biodiversiti apabila hutan ditebang untuk perlombongan dan pertanian.

Pengarah Program Pemerhatian Bumi Esa, Simonetta Cheli berkata kepada Observer minggu lalu bahawa pihaknya perlu mengetahui tahap kesihatan hutan tropika.

“Kita perlu tahu kualiti dan kepelbagaian vegetasi serta jumlah karbon yang tersimpan di sana. Untuk mendapatkan maklumat itu, kita akan mencipta imej 3D hutan dari puncak kanopi hingga ke akar pokok,” katanya.

Hutan tropika memainkan peranan penting dalam melindungi planet dari kesan terburuk pemanasan global kerana menyerap begitu banyak karbon dioksida dari atmosfera dengan anggaran menunjukkan kira-kira lapan bilion tan diserap dan sering digambarkan sebagai paru-paru hijau bumi.

Biomass dijadualkan dilancarkan dari pusat angkasa Esa berhampiran Kourou di French Guiana pada 29 April menggunakan roket VegaC dan akan membawa radar dikenali sebagai radar apertur sintetik P-band.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya