KHARTOUM: Pasukan separa tentera Sudan mengisytiharkan pembentukan kerajaan baharu untuk bersaing dengan tentera negara itu selepas dua tahun peperangan yang kini menjadi krisis kemanusiaan terbesar di dunia.
Pengumuman itu dibuat pemimpin Pasukan Tindakan Pantas (RSF), Mohamed Hamdan Hemedti Dagalo ketika London menganjurkan persidangan peringkat tinggi berikutan ulang tahun kedua konflik tersebut sambil berkata, kumpulannya sedang membina satu-satunya masa depan yang realistik untuk Sudan.
Sementara itu, pertempuran terus merebak dengan tentera Sudan mendakwa telah mengebom kedudukan RSF di luar bandar el-Fasher, memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri dari kem pelarian Zamzam.
Hemedti mendakwa RSF sedang membina negara berlandaskan undang-undang, bukan negara yang diperintah oleh individu.
“Kami tidak mahukan penguasaan, tetapi perpaduan. Kami percaya tiada suku, wilayah, atau agama yang memonopoli identiti Sudan,” menurut kenyataannya di Telegram.
Beliau menambah bahawa kerajaannya akan menyediakan perkhidmatan penting seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan bukan sahaja di kawasan bawah kawalan RSF, tetapi di seluruh Sudan.
Menurut PBB, lebih 400 orang terbunuh dalam serangan terbaru RSF berdasarkan sumber yang dipercayai.
Setelah dua tahun peperangan, kedua-dua tentera Sudan dan RSF dituduh melakukan jenayah perang, termasuk genosid dan keganasan seksual berskala besar.
Hemedti terlibat dalam perebutan kuasa dengan Ketua Tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, sejak 15 April 2023 hingga mencetuskan krisis kemanusiaan yang telah meragut lebih 150,000 nyawa dan memindahkan lebih 12 juta orang.
Pertempuran terbaharu di ibu kota Darfur Utara, el-Fasher, memaksa puluhan ribu penduduk dari kem pelarian Zamzam berjalan sejauh 70 kilometer ke bandar Tawila, menurut pertubuhan perubatan MSF.
Ramai yang tiba dalam keadaan dehidrasi teruk dan beberapa kanak-kanak dilaporkan mati kehausan.
Agensi kemanusiaan melaporkan lebih 700,000 orang di kem sementara sekitar el-Fasher menghadapi kebuluran dengan ancaman keselamatan dan sekatan jalan menghalang bantuan kritikal.
Dalam mesyuarat antarabangsa pada Selasa, UK menjanjikan bantuan tambahan bernilai 120 juta pound (RM601 juta) berupa makanan dan perubatan, sambil mendesak dunia agar tidak melupakan Sudan.
“Ramai telah berputus asa terhadap Sudan, itu salah. Ia salah dari segi moral apabila kita melihat ramai rakyat awam dipancung, bayi seawal setahun menjadi mangsa keganasan seksual, lebih ramai yang menghadapi kebuluran berbanding mana-mana tempat di dunia, kita tidak boleh berpaling,” kata Setiausaha Luar UK, David Lammy.
Persidangan itu juga menyeru gencatan senjata segera dan kekal, tetapi Kesatuan Afrika (AU) menegaskan ia tidak akan membenarkan Sudan dipisahkan oleh tentera dan RSF.-AGENSI