ISLAMABAD: Kerajaan Arab Saudi mengenakan larangan visa sementara terhadap 14 negara, termasuk Pakistan menjelang musim haji tahun ini.
Menurut sumber yang dilapor The News, larangan terbabit dikenakan terhadap visa umrah, perniagaan dan visa keluarga dengan sekatan dijangka berakhir pada pertengahan Jun.
Sumber diplomatik memaklumkan, pemegang visa umrah hanya boleh memasuki Arab Saudi sehingga 13 April ini.
Kementerian Luar Arab Saudi, memaklumkan penggantungan visa sementara bertujua membantu mengawal perjalanan semasa musim haji dan memastikan keselamatan terkawal, lapor Dhaka Tribune.
Pihak berkuasa menggesa pemohon visa supaya mematuhi peraturan baharu itu sambil memberi amaran, kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan penalti.
Antara sebab utama sekatan sementara, termasuk kebimbangan terhadap cubaan menunaikan haji tanpa kebenaran dengan mengambil contoh kejadian pada musim haji lalu apabila ada individu yang masuk menggunakan visa pelbagai, namun tinggal secara haram hingga musim haji untuk menunaikan ibadah itu.
Faktor lain mendorong sekatan sementara adalah pemegang visa lawatan keluarga atau perniagaan yang bekerja secara haram, melanggar syarat visa dan mendatangkan gangguan kepada pasaran buruh.